Biarpun serba ‘tempang’, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akhirnya tiba di Singapura untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2020 yang dijadualkan akan bermula pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022.
Bukan hanya sekadar skuad yang sedikit tempang kali ini, skuad kebangsaan juga tidak sempat menjalani latihan pusat penuh serta tiada aksi pemanas badan sempat direncana dek kerana penjadualan Liga Malaysia 2021 yang boleh kita kategorikan sebagai tidak membantu langsung persediaan mereka untuk ke kejohanan.
Dilihat serba tak kena, Cheng Hoe hanya dapat mengumpul keseluruhan skuad yang dipanggil ke kem skuad kebangsaan pada 1 Disember lalu selepas berakhirnya saingan Piala Malaysia 2021. Sudahlah begitu, beberapa pemain yang beraksi sehingga ke pentas final Piala Malaysia turut tercedera sehingga terpaksa disisihkan.
#News | 🇲🇾 Malaysia national team’s arrived at Singapore for AFF Suzuki Cup 2020.
The Malaysia team lost 4 players selected in the initial list of 28 players namely : Kenny Pallraj and Muhammad Akram Mahinan; Darren Lok as well as naturalised player Mohamadou Sumareh .
📸#FAM pic.twitter.com/3oPf0pKU5V
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) December 3, 2021
Malaysia kehilangan dua tonggak di posisi tengah bertahan yang selama ini diterajui oleh pemain tulen untuk posisi tersebut. Kali ini, Cheng Hoe perlu bergelut dengan seorang pemain tulen di posisi itu yang sudah dua tahun tidak bermain di posisi itu. Begitupun, ini adalah pilihannya walaupun berkuasa untuk mengubahnya.
Menurutnya yang bercakap kepada The Star, beliau memiliki empat pemain lain untuk posisi tengah selain Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal Mahadi. Mereka adalah Junior Eldstal, Dion Cools, R. Kogileswaran dan Syafiq Ahmad. Begitupun, hanya Junior Eldstal merupakan pemain tengah bertahan tulen untuk posisi itu.
Berbanding Malaysia, negara lain telah melalui persediaan rapi sejak sebulan yang lalu, malah Myanmar, Singapura dan Indonesia menjalani latihan pusat mereka di luar negara. Mereka juga sempat mengadakan beberapa siri aksi persahabatan dalam tempoh latihan pusat tersebut menentang negara-negara luar.
Sementara Vietnam pula memang melalui aksi kelayakan Piala Dunia pusingan ketiga atau terakhir berdepan jagoan-jagoan Asia yang tentunya dalam masa yang sama mempersediakan pasukan untuk Piala AFF kali ini.
FAM letakkan target skuad Harimau Malaya 🐯 sampai ke final AFF Piala Suzuki 🏆
Cmon boys! Kita boleh punya ke final 💪💪💪@FAM_Malaysia pic.twitter.com/QzfXWinXHF
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 11, 2021
Biarpun tanpa skuad terbaik, skuad yang membawa cabaran negara untuk memenuhi ‘nafsu’ besar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) – mara ke pentas final, masih dilihat mampu memberikan cabaran. Pemain seperti Dion Cools dan Luqman Hakim Shamsudin yang dibawa daripada Belgium mampu memberikan impak.
Harimau Malaya juga memiliki beberapa pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal dan Arif Aiman Hanapi yang tampil cemerlang tahun ini. Ia masih skuad yang seimbang walaupun tidak dibarisi bintang-bintang daripada juara Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Walaupun boleh dikatakan ‘tempang’ tanpa beberapa bintang besar dan tiada persediaan rapi sebelum bermula kejohanan kali ini, namun janganlah terlampau diusik harimau yang terluka ini kerana mungkin buruk padahnya!