Menuju Piala AFF Suzuki 2018, Harimau Malaya Perlu Suntikan Segar

Piala AFF Suzuki 2018 dijangka akan berlangsung pada November nanti dan skuad kebangsaan kini dalam rangka persediaan selepas menamatkan saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Dengan ketua jurulatih yang baharu, pembentukkan pasukan baharu sedang giat berjalan dan Malaysia telah melalui dua perlawanan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Ahad ini akan berlangsung satu lagi perlawanan iaitu menentang pasukan di ranking ke-188 dunia, Bhutan dan Cheng Hoe perlu memperkemaskan lagi skuadnya berdasarkan pemain yang ada.

Dalam artikel Rumusan Ringkas Daripada 2 Perlawanan Pertama Tan Cheng Hoe, Semuanya BOLA telah menyatakan Cheng Hoe perlu segera menentukan skuad utamanya.

Adakah skuad Harimau Malaya akan disuntik dengan generasi baharu di kejohanan Piala AFF Suzuki, November ini? Atau sentuhan pemain-pemain ‘otai’ masih diperlukan?

Siapa yang paling kerap beraksi di Piala AFF?

Sejak kali pertama dan terakhir skuad negara memenangi kejohanan ini pada edisi 2010, beberapa pemain dilihat masih menjadi pilihan untuk beraksi di Piala AFF.

Antaranya dua penyerang ikonik era Datuk K. Rajagobal, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, pertahanan tengah, Fadhli Shas dan juga penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.

Aura Safee Sali dalam kejohanan AFF 2010 memang tiada tandingan. Foto: Asiana.my

Keempat-empat pemain ini masih konsisten tersenarai untuk tiga edisi berikutnya. Walaubagaimanapun, untuk dua aksi kendalian Cheng Hoe, tiada lagi kelibat Safee dan Norshahrul.

Mungkin atas faktor usia, kedua-dua penyerang ikonik itu tampak semakin sukar untuk mendapat tempat. Namun mereka sangat kaya dengan pengalaman antarabangsa.

Kedua-dua pemain ini masih beraksi di unifi Liga Super dengan Safee kini bersama PKNS FC dan Norshahrul pula bersama Pahang. Kedua-duanya telah merekodkan satu gol setakat ini.

Adakah kedua-dua pemain tersebut masih releven untuk skuad kebangsaan di kejohanan Piala AFF? Namun, dengan kemunculan generasi baharu, besar kemungkinan mereka bakal disisih.

Peledak generasi baharu?

Cheng Hoe dilihat menguji Hazwan Bakri ketika menentang Mongolia, sementara ketika tewas tipis kepada Lubnan, Zaquan Adha pula telah ditugaskan di jentera serangan.

Aksi Zaquan dilihat lebih meyakinkan dan penjaring gol tunggal negara menentang Lubnan, Syafiq Ahmad juga adalah antara penyerang generasi baharu yang dicuba Cheng Hoe.

Atas faktor Cheng Hoe lebih memahami ‘cara yang betul’ untuk menggunakan Syafiq disebabkan sejarah mereka di Kedah, jadi tidak dinafikan dia adalah calon pemain yang boleh tersenarai.

All Sports Images And News Agency (c) 2017 – http://www.asiana.my

Zaquan pula pernah beraksi sekali di pentas AFF iaitu pada edisi 2016 dan hanya turun beraksi dalam satu perlawanan. Sementara Hazwan pula pernah bersama skuad AFF 2012 dan 2016.

Berbanding 2012, Hazwan adalah tonggak utama penyerang pada edisi 2016 di mana Malaysia telah ditunjukkan jalan keluar pada peringkat kumpulan. Tiada jaringan yang dihasilkannya.

Berikut merupakan rekod jaringan dalam 3 tahun terkini (2016-2018) untuk calon peledak skuad negara:

  • Amri Yahyah – 5 gol
  • Hazwan Bakri – 4 gol
  • Syafiq Ahmad – 1 gol
  • Darren Lok – 1 gol
  • Zaquan Adha – 0 gol

Melihatkan rekod dari 2016 sehingga kini, pemain berpengalaman, Amri Yahyah mendominasi senarai penjaring dan diikuti oleh Hazwan di kedudukan kedua.

Amri hanya terlepas edisi 2012 sahaja dan pada edisi 2016 yang lalu, dia telah dilantik menjadi ketua pasukan menggantikan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan ‘sementara’nya.

Adakah Cheng Hoe akan memanggil semula Amri atau memberi peluang kepada generasi baharu? Aksi terakhir Amri bersama skuad kebangsaan adalah pada Jun 2017.

Fenomena Akhyar-Safawi bakal malapkan Syazwan Zainon-Baddrol Bakhtiar

Selain penyerang tunggal, Cheng Hoe juga dilihat menerapkan pemain sayap menyerang dalam kedua-dua perlawanan dan antara yang menyerlah ketika ini adalah Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Berusia 18 tahun, penampilan antarabangsa pertamanya ketika menentang Mongolia dan berjaya meledakkan gol yang menarik, Akhyar adalah pemain paling berpotensi untuk tersenarai.

Bagi Safawi pula, pastinya semua sudah tahu bagaimana aksi yang bakal dihidangkan oleh pemain yang berasal dari Terengganu ini. Safawi adalah pemain wajib dalam senarai akhir Cheng Hoe.

Antara yang berpengalaman adalah Wan Zack Haikal yang pernah beraksi di AFF 2012. Beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan, Wan Zack turut menyumbang satu gol.

Sepanjang tahun lalu, Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar adalah tunjang di bahagian sayap. Dengan aksi cemerlang dalam saingan domestik, gandingan ini merupakan antara yang menarik.

Syazwan turut menyumbang dua gol daripada 9 penampilan bersama skuad kebangsaan, sementara Baddrol pula merupakan pemain tetap dalam sebarang kejohanan.

Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Adakah gandingan Akhyar dan Safawi akan mengambil alih secara tetap posisi sayap Harimau Malaya? Jika mahukan impak kepada jentera hadapan, Cheng Hoe tidak perlu ragu-ragu lagi.

Berbanding Syazwan-Baddrol, gandingan Akhyar-Safawi tampak lebih efektif dan bertenaga. Mereka memberi dimensi lebih berbeza buat skuad kebangsaan di jentera serangan.

Selain itu, Cheng Hoe juga dilihat dalam fasa menguji beberapa senarai pemain sayap menyerang baharu antaranya Jafri Firdaus Chew, R. Kogileswaran, Syahmi Safari.

Kukuhkan jentera tengah

Sudah agak lama skuad negara kekurangan impak di jentera tengah. Namun, dengan kemasukan pemain naturalisasi, Natxo Insa ketika aksi menentang Mongolia, ia seakan sudah dibaiki.

Selain Natxo, Cheng Hoe telah membawa masuk Akram Mahinan, Afiq Fazail dan Nazmi Faiz untuk persaingan di posisi tersebut. Selain itu, jentera tengah turut memiliki Safiq Rahim.

Tugas Cheng Hoe ketika ini adalah untuk membentuk gandingan ampuh di bahagian tengah, dan ianya perlu melibatkan Natxo sebagai tunjang utama, bukan lagi Safiq.

Sumber: FAM, Facebook.

Posisi Safiq mungkin sudah boleh diisi oleh pemain generasi baharu. Ini kerana, dalam pertembungan dengan Mongolia tempohari, sumbangan Safiq dilihat sudah berkurangan.

Edisi 2016 memperlihatkan kekurangan jelas di jentera tengah. Tiada pemain utama untuk posisi tersebut dan akibatnya Malaysia kecundang awal di peringkat kumpulan.

Pemain-pemain di posisi lain terpaksa mengisi ruang di posisi tersebut antaranya Baddrol Bakhtiar yang lebih efektif di sayap, Shahrul Saad dan juga adakalanya penyerang, Fakri Saarani.

Ini sebenarnya akan menjejaskan rentak pasukan. Pemain posisi lain yang mengisi secara ‘sambilan’ di posisi tersebut akan bergelut mencari rentak kerana tiada pengalaman.

Pilihan yang ada adalah pemain posisi lain yang mampu bermain baik di posisi ‘sekunder’ mereka. Sebagai contoh Shahrul Saad seorang pertahanan yang boleh bermain di jentera tengah.

Jantung dan enjin pasukan perlu ‘hidup’ untuk meningkatkan peluang pasukan untuk menang. Pilihan pemain yang tepat dan teliti sangat diperlukan di posisi ini.

Dan dengan kehadiran generasi baharu, posisi ini akan kembali stabil. Selain Nazmi, Akram dan Afiq, Malaysia turut memiliki Hadin Azman, Nor Azam Azih dan Danial Amier Norhisham.

Benteng akhir perlu suntikan segar

Peluang Khairul Fahmi masih samar kerana perlu bersaing dengan beberapa penjaga gawang lain seperti Izham Tarmizi, Hafizul Hakim, Khairul Azhan Khalid dan juga terbaru, Haziq Nadzli.

Dengan peningkatan peluang buat Hafizul Hakim dan kehadiran generasi baharu, Haziq Nadzli, Khairul Fahmi kini perlu memikat barisan kejurulatihan dengan aksi yang lebih baik.

Sementara Fadhli Shas pula dijangka tiada masalah untuk tersenarai ke edisi kelimanya. Memiliki 55 kaps antarabangsa, antara yang terbanyak, dia kini sedang beraksi baik di JDT.

Fadhli Shas dijangka akan menjadi tonggak penting di benteng pertahanan dan kesilapan seperti yang dilakukannya dalam aksi menentang Mongolia tempohari perlu dielakkan.

Sepanjang 2017 sehingga dua perlawanan pada tahun ini, skuad negara telah melalui 10 perlawanan dan bolos 20 gol, dengan purata bolos 2 gol untuk setiap perlawanan.

Ia satu indikasi yang jelas, benteng akhir skuad negara perlu diperkukuhkan dengan generasi baharu. Penyelesaiannya, suntikan segar perlu dibuat untuk benteng pertahanan.

Sumber: JDT, Facebook

Jika bersesuaian, pemain JDT, Corbin Ong perlu diletakkan dalam senarai wajib Cheng Hoe. Sepanjang aksinya setakat ini, ada sesuatu yang boleh ditawarkannya kepada benteng skuad negara.

Selain Corbin Ong, pemain seperti S. Kunanlan, Matthew Davies, Rizal Ghazali, Nazirul Naim dan Syazwan Andik boleh dianggap pesaing sengit untuk slot pertahanan kiri dan kanan.

Cheng Hoe perlu memikirkan pasangan yang sesuai buat Fadhli Shas, sekiranya dia adalah tonggak utama. Fadhli Shas di peringkat seperti ini, kerap kali membuat kesilapan di luar jangkaan.

Tonggak skuad B-23, Adam Nor Azlin boleh diberikan lebih peluang kerana apa yang dipamerkannya ketika Sukan SEA yang lalu, dia seorang bintang muda yang boleh diharapkan.

Selain Adam, Cheng Hoe mungkin boleh berkira-kira untuk memberikan peluang buat Shahrul Saad, Irfan Zakaria, Kiko Insa atau pemain meningkat naik dari PKNS FC, Rodney Calvin.

Siapa yang boleh dipertimbangkan?

Dalam edisi 2016, seramai 23 pemain telah dipilih oleh ketua jurulatih ketika itu, Datuk Ong Kim Swee. Ini adalah pandangan penulis mengenai siapa yang boleh disenaraikan.

Pembahagian jumlah pemain mengikut posisi adalah mengikut senarai pemain pada edisi 2016 dengan 3 penjaga gol, 7 pertahanan, 9 pemain tengah dan 4 penyerang.

Senarai 23 pemain untuk Piala AFF 2016.

Penulis terpaksa memilih beberapa pemain untuk diletak di posisi ‘sekunder’ mereka bagi memberi lebih ruang untuk pemain lain mengisi ruang yang ada.

Ini adalah senarai 23 pemain pilihan penulis berdasarkan prestasi semasa dan penyertaan bersama-sama skuad kebangsaan baru-baru ini.

Penjaga gol: Izham Tarmizi, Hafizul Hakim dan Haziq Nadzli

Pertahanan: Fadhli Shas, Shahrul Saad, Adam Nor Azlin, Matthew Davies, Corbin Ong, Rizal Ghazali dan Nazirul Naim

Tengah: Natxo Insa, Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Nor Azam Azih, Akhyar Rashid, Wan Zack Haikal, Syahmi Safari, Syazwan Andik dan Hadin Azman

Penyerang: Zaquan Adha, Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid

Ini adalah pandangan peribadi penulis mengenai senarai pemain untuk persediaan skuad negara menjelang kejohanan ‘Piala Dunia’ buat rantau Asia Tenggara, iaitu Piala AFF Suzuki.

Anda mempunyai nama lain yang ingin dicadangkan?

Apa yang jelas, perubahan dan rombakan pemain perlu dibuat oleh Tan Cheng Hoe kepada barisan sedia ada serta suntikan segar diperlukan untuk kejohanan AFF kali ini.

Ada lebih kurang 222 hari lagi menjelang kejohanan Piala AFF dan ada ruang masa yang banyak buat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya untuk membentuk skuad yang baik.

Kesebelasan utama skuad malaysia B-23 ketika bertemu Iraq. FOTO: FAM

Generasi baharu daripada skuad B-23 negara yang telah beraksi cemerlang di Sukan SEA dan Kejohanan AFC B-23 tempohari perlu diberikan ruang dan peluang.

Semua pemain tersebut perlu diadun dengan rapi dan teliti di dalam satu ‘ramuan khas’ agar skuad Harimau Malaya mampu mengaum gah di pentas Piala AFF nanti.

Sudah pasti pemilihan akhir nanti turut bergantung kepada prestasi semasa pemain-pemain ini di saingan domestik.

Penutup

Piala AFF Suzuki nanti merupakan kejohanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Di dalam pembentukkan skuad Malaysia dengan DNA yang jelas, ia tentu mengambil masa. Tan Cheng Hoe turut memerlukan beberapa musim untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah pasukan dengan DNA bola sepak yang unik satu masa dahulu.

Sebagaimana tinggi menggunung harapan kita untuk melihat skuad negara muncul juara, mungkinkah separuh akhir adalah sasaran yang realistik?

Objektif utama yang perlu diberi keutamaan ialah untuk membina sebuah pasukan kebangsaan yang mampu bersaing secara kompetitif untuk satu tempoh lama, dan bukan berdasarkan ‘one-off tournament’.

Tiba masanya Tan Cheng Hoe diberikan sepenuh kebebasan untuk memilih pemain pilihannya tanpa campur tangan mana-mana pihak.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendiriaan Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN