Rumusan Ringkas Daripada 2 Perlawanan Pertama Tan Cheng Hoe Dengan Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe memulakan debut dengan Harimau Malaya dengan keputusan seri menentang Mongolia dan tewas di tangan Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

Formasi

Secara asasnya, Tan Cheng Hoe masih berpegang kepada formasi 4-2-3-1. Dan sistem 4-3-3 adalah sistem kedua di dalam pengurusan taktikal beliau.

Taktikal Tan Cheng Hoe jelas cuba mengurangkan kebergantungan kepada aksi terlau direct dengan terlalu banyak hantaran langkau (skipping center). Namun harus diakui untuk berhadapan dengan lawan seperti Lubnan, ianya bukan mudah.

Pertahanan

Di bahagian pertahanan, Malaysia masih menggunakan sistem bek berempat. Dalam 2 perlawanan pertama Malaysia, Tan Cheng Hoe terpaksa menggunakan set bek tengah yang berbeza.

Untuk bek sisi, Davies bermain dalam 2 perlawanan Tan Cheng Hoe setakat ini. Davies jelas diberikan arahan untuk menjadi antara penyumbang utama bola lintang. Walaupun dalam perlawanan pertama, sistem ini agak lemah, penyerang dan pembekal servis terputus (disjointed).

Pada perlawanan pertama, Fazly Mazlan diarahkan bermain bek kiri. Kurang ancaman daripada pasukan lawan di zon tersebut membuatkan susah untuk menilai beliau secara defensif.

Namun dari segi kontribusi dalam serangan, Fazly Mazlan menyumbang 1 bantuan gol kepada Akhyar Rashid.

Tengah

2 perlawanan, Tan Cheng Hoe berpegang kepada sistem pivot berganda. Pada perlawanan kedua beliau meletakkan Mahali Jasuli dan Akram Mahinan di tengah. Gandingan Afiq Fazail dan Natxo memberikan impak yang baik secara taktikal.

Mahali jelas berhadapan dengan konflik formasi untuk menukarkan pemikiran (mind) beliau daripada wide minded kepada narrow minded. Akram Mahinan adalah pemain tengah defensif yang lebih direct berbanding dengan Afiq yang lebih kepada ‘destroyer’.

Rasanya, bahagian pivot dan tengah pasukan Malaysia sudah ada pemain terbaik dalam posisi ini. Afiq Fazail, Natxo Insa dan Nazmi Faiz adalah pertimbangan untuk menjadi trio di tengah. Dalam perlawanan menentang Lubnan, dan pada kemasukan dari bangku simpanan menentang Mongolia, Nazmi Faiz berjaya memberikan impak dalam aksi beliau.

Serangan

Tan Cheng Hoe sebenarnya memiliki beberapa pilihan di bahagian serangan dengan aksi yang meyakinkan ditunjukkan oleh Zaquan Adha. Beliau jelas lebih efektif untuk terlibat dalam pembinaan gerakan (build up) berbanding dengan Hazwan Bakri. Syafiq Ahmad menjaringkan gol di Lubnan, dan beliau layak diberikan kredit.

Hazwan Bakri nampaknya perlu memperbaiki aspek permainan berpasukan dengan persaingan yang diberikan oleh Zaquan. Namun dari segi penyudah, mungkin Hazwan lebih baik kerana Zaquan sejak musim lalu bergelut untuk mendapatkan sentuhan penyudah akhir.

Sementara di bahagian sayap, Safawi Rasid akan menjadi nadi utama skuad Tan Cheng Hoe. Pemain muda ini menunjukkan kualiti beliau dari hari ke hari. Mungkin ada yang melabel beliau agak tamak. Itu adalah tipikal penyerang sayap. Orang akan diam jika aksi tamak itu disudahkan dengan gol. Itu adalah perkara yang harus ditingkatkan lagi oleh Safawi Rasid.

Di sayap kiri, Akhyar Rashid adalah pilihan yang baik. Pemain yang agak mengejutkan ramai pihak dalam penampilan pertama dengan skuad senior. Beliau melebihi ekspektasi semua sebenarnya.

Dengan adanya pemain seperti Wan Zack Haikal sebagai tambahan kepada ‘depth’ skuad. Tan Cheng Hoe memiliki opsyen yang baik untuk menggerakkan sistem serangan bertiga sama ada dari platform 4-2-3-1 ataupun 4-3-3.

Kekuatan dan kelemahan

Buat masa ini Tan Cheng Hoe sedang membina pasukan berdasarkan sumber yang ada. Secara jujurnya, kekuatan pasukan pada perlawanan menentang Lubnan adalah pada tumpuan dan fokus di dalam perlawanan.

Pemain lebih serius untuk bermain berbanding dengan sikap agak terlalu yakin ketika menentang Mongolia. Cuma ada satu aspek yang harus ditanam dalam pemain-pemain kita adalah keinginan untuk menang.

Keinginan ini yang akan membawa kepada keyakinan. Ramai yang akan mempersoalkan isu realistik. Dalam perlawanan menentang Lubnan, bukan sesuatu yang tidak realistik untuk Malaysia berkeinginan lebih untuk menang berbanding dengan terlalu ingin seri.

Perlawanan itu adalah perlawanan yang kita tak kalah apa-apa, kita sudah tersingkir. Pada masa yang sama pada kedudukan 1-1, Malaysia sudah membuatkan lawan kita panik untuk menang. Bezanya adalah keinginan untuk mencari gol penyamaan adalah berbeza dengan keinginan untuk mencari gol kedua.

Pada separuh masa kedua, Malaysia bermain sangat baik ketika mencari gol penyamaan. Namun selepas itu, intensiti kita dikurangkan dan secara berterus terang, banyak aksi cuba melengahkan perlawanan. Saya bukan cakap ketika penjaga gol cedera tetapi ketika penjaga gol cuba melengahkan perlawanan menunggu lawan datang dan barulah menangkap bola.

Aspek teknikal sentiasa menjadi bahan perbincangan. Rasanya, pemain-pemain sendiri sudah tahu akan hal ini. Jadi, statistik dan data pemain yang hilang bola, pemain yang melakukan kawalan bola lemah seperti sentuhan terlalu kuat (heavy touches), harus digariskan untuk dibentangkan kepada pemain.

Dalam satu temu ramah wartawa dengan Raheem Sterling, beliau menyatakan, hanya kerana hilang bola 3 kali dalam satu perlawanan, Guardiola merehatkan beliau dalam beberapa perlawanan dan dia sendiri risau akan hilang tempat di dalam pasukan untuk baki saingan yang masih panjang.

Selepas itu, Guardiola mengarahkan Sterling berlatih benda asas sekali lagi di pusat latihan iaitu kawalan bola. Lihat improvisasi pemain itu pada hari ini dan beliau antara nama yang sudah ada dalam penerbangan ke Rusia.

Seterusnya adalah isu disiplin dan konsentrasi dalam 15 minit terakhir. Malaysia kerap sangat melepaskan bolos dalam 15 minit ataupun 10 minit terakhir. Perkara yang harus digariskan dalam post mortem.

Seterusnya 

Bhutan adalah lawan Malaysia yang seterusnya. Diharap Tan Cheng Hoe akan menurunkan kesebelasan terkuat beliau. Ini bukan soal Bhutan, ini soal proses pembentukan pasukan serta motivasi daripada kemenangan pertama.

Tan Cheng Hoe perlu menentukan skuad utama beliau secepat mungkin dengan menggunakan 3 perlawanan ini sebagai penilaian. Kami mahu dengar pasukan utama pilihan peribadi anda untuk Harimau Malaya di ruangan komen.

Selamat maju jaya Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN