Kedudukan pasukan bola sepak negara meningkat naik sebanyak dua anak tangga – seperti yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA pada hari ini.
Pada Oktober lalu, pasukan negara menduduki tangga ke-169 dunia. Peningkatan ini bermakna pasukan negara menduduki tangga ke-167 dunia, sekaligus meneruskan rentak positif pasukan negara di dalam kedudukan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu.
Tahun 2018 yang positif
Pasukan negara yang berada di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-175 dunia pada Januari lalu, merekodkan peningkatan ke kedudukan ke-171 dunia pada Mei sebelum terus melakar peningkatan pada Oktober dan November.
Malaysia yang kini mengumpul 984 mata terkumpul setakat ini turut mengumpul 10 mata sepanjang tempoh tersebut – hasil keputusan positif dalam beberapa perlawanan antarabangsa sepanjang bulan ini.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya merekodkan kemenangan menentang Maldives (3-0) dalam perlawanan persahabatan pada 3 November lalu, diikuti oleh dua kemenangan menentang Kemboja (1-0), Laos (3-1), dan Myanmar (3-0) dalam pertandingan Piala AFF Suzuki 2018 yang sedang berlangsung.
Kedudukan negara ASEAN
Vietnam terus kekal menjadi pasukan terbaik dari rantau Asia Tenggara apabila turut meningkat dua anak tangga untuk menduduki kedudukan ke-100 dunia.
Dua lagi pasukan yang layak ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018, Filipina (tangga ke-114), dan Thailand (tangga ke-118) turut merekodkan peningkatan setelah masing-masing merekodkan peningkatan dua dan tiga anak tangga dalam kedudukan tersebut.
Manakala Indonesia dan Singapura kekal di kedudukan ke-160 dan ke-165, walaupun prestasi kedua-dua negara di kejohanan serantau baru-baru ini agak mengecewakan.