Penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak masih menaruh keyakinan yang masalah tunggakan gaji yang dilalui juara Piala FA 2019, Kedah, akan dapat diselesaikan.
Bercakap kepada Astro Arena, bekas penyerang skuad kebangsaan itu dipetik berkata yang pihak pengurusan tentunya memiliki cara dan beliau berharap yang isu ini akan berakhir menjelang sambutan hari raya Aidilfitri nanti, iaitu lebih kurang seminggu lagi.
“Saya yakin pihak kebajikan KFA akan lakukan yang terbaik serta membuat keputusan dengan cara terbaik. Apa yang kami harap, menjelang raya akan ada sesuatu yang menggembirakan,” ujar pemain berusia 32 tahun itu mengenai perkara tersebut.
Sementara rakannya di posisi serangan, Kpah Sherman pula telah berkata yang beliau berharap akan ada seseorang datang untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Tiga bulan sememangnya satu situasi yang sukar. Semua faham situasi tetapi kami mempunyai keluarga dan memerlukan wang. Apa yang boleh kami lakukan adalah berdoa dan mengharapkan seseorang hadir untuk menyelesaikan situasi ini,” katanya.
Kira-kira sebulan lalu, Tengku Mahkota Johor (TMJ) telah mendedahkan mengenai isu tunggakan gaji yang dilalui oleh beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Kedah.
Pendedahan tersebut mendapat respon balas yang agak ‘kurang enak’ daripada Kedah melalui Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris yang mempersoalkan beberapa pihak termasuklah campur tangan TMJ.
Asmirul Anuar Aris menyatakan yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga tidak membantu menghulurkan bantuan kepada persatuan yang pada ketika ini melalui masalah penajaan akibat penangguhan liga.
Begitupun, pihak KFA ada memaklumkan yang segala masalah tunggakan gaji ini akan diselesaikan sebaik sahaja mereka menerima semula wang penajaan daripada pihak penaja – selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia berakhir.
Menurut laporan Astro Arena, gaji barisan pemain serta pengurusan skuad Helang Merah masih tertunggak untuk bulan Mac dan April selain baki 70 peratus untuk bulan Februari yang dijanjikan akan selesai hujung minggu lalu. Namun, ia tidak berlaku.
Adakah pergolakan politik di Kedah menjadi punca utama kepada masalah tunggakan gaji dan kesan pandemik COVID-19 hanya dijadikan alasan untuk culas membayar gaji? Hanya pengurusan KFA yang mengetahui punca utama masalah mereka.
Bekas pengendali Kedah, Azraai Khor juga sebelum ini menyatakan pendapatnya yang mengatakan Kedah tidak pernah berhutang dalam jumlah yang besar dan KFA pastinya sudah memiliki cara bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji tersebut.
Namun, pendedahan Astro Arena tersebut ada menyatakan jumlah tunggakan Kedah ketika ini iaitu berjumlah kira-kira RM2.7 juta. Dan jika ini berlanjutan pula hingga penghujung Mei, berapakah hutang KFA kepada para pemain dan pengurusan?
Tidak dipastikan samaada perbincangan bersama pemain telah diadakan atau tidak sebagaimana yang dilakukan di beberapa buah negara. Cuma sebulan yang lalu, Asmirul Anuar Aris berkata perbincangan tidak dapat dibuat selagi FAM dan MFL belum menyediakan kata putus bilakah tarikh liga akan kembali bermula.
Apa pula respon balas KFA berhubung isu yang semakin berlarutan ini? Aidilfitri kian menjelang, adakah para pemain dan pengurusan akan menyambutnya dalam duka?
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA