Piala Asia B-23 yang berlangsung di Uzbekistan merupakan edisi kelima kejohanan yang diadakan dua tahun sekali sejak 2013.
Pada tahun Sukan Olimpik, seperti tahun 2016 dan 2020, kejohanan ini juga menawarkan tempat ke Sukan Olimpik untuk tiga pasukan terbaik.
Untuk kejohanan tahun ini, setiap pasukan boleh menyenaraikan pemain yang lahir selepas 1 Januari 1999. Secara amnya, pemain yang lebih berusia sudah tentu mempunyai lebih pengalaman dan mampu membentuk pasukan yang lebih kuat berbanding pemain yang lebih muda.
Beberapa pasukan dilihat serius untuk mencabar kejuaraan pada tahun ini dengan menyenaraikan pemain-pemain yang lebih berpengalaman.
Namun, ada juga pasukan yang menjadikan kejohanan tahun ini sebagai persiapan dan pendedahan kepada pemain-pemain yang masih layak untuk bermain pada kejohanan pada tahun 2024 yang dilihat lebih penting kerana turut menawarkan tempat ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Ini pernah dilakukan oleh Jepun pada tahun 2018 apabila mereka menyenaraikan 100 peratus pemain bawah 21 tahun sebagai persediaan untuk skuad mereka yang akan bermain di Sukan Olimpik dua tahun kemudian.
Pada tahun 2018, skuad tersebut sekadar layak hingga ke suku akhir, dibelasah 0-4 oleh Uzbekistan yang kemudiannya muncul juara.
Namun dua tahun kemudian di Sukan Olimpik 2020, mereka berjaya layak hingga ke separuh akhir sementara Uzbekistan langsung tidak layak.
Untuk kejohanan tahun ini, berikut ialah bilangan pemain setiap pasukan yang masih layak untuk bermain di kejohanan ini pada tahun 2024 kelak:
- Uzbekistan – 23 orang
- Jepun – 23 orang
- Iran – 19 orang
- Australia – 14 orang
- Jordan – 14 orang
- MALAYSIA – 14 orang
- Tajikistan – 13 orang
- Kuwait – 12 orang
- Turkmenistan – 11 orang
- Iraq – 11 orang
- Qatar – 10 orang
- Thailand – 10 orang
- Vietnam – 9 orang
- Emeriah Arab Bersatu (UAE) – 9 orang
- Korea Selatan – 8 orang
- Arab Saudi – 8 orang
Berdasarkan angka di atas, Jepun sekali lagi menjadikan kejohanan tahun ini sebagai persediaan untuk mara ke Sukan Olimpik 2024.
Begitu juga dengan tuan rumah, Uzbekistan yang mungkin mengambil pengajaran ke atas apa yang berlaku sebelum ini.
Enam pasukan lain termasuk Malaysia menyenaraikan lebih ramai pemain bawah 21 tahun. Korea Selatan dan Arab Saudi pula dilihat sangat serius untuk mencabar kejuaraan pada tahun ini berdasarkan umur pemain-pemain yang mereka bawa.
Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik balik sasaran mara ke separuh akhir adalah tindakan yang betul.
Selepas mengharungi Sukan SEA 2021 tanpa sebarang kekalahan pada masa sebenar menentang pasukan-pasukan yang lebih berusia, diharapkan Brad Maloney terus menjadikan Piala Asia B-23 2022 sebagai pendedahan berguna kepada sebahagian besar pemain-pemainnya.
Luqman Hakim, Mukhairi Ajmal dan lain-lain pemain malah Arif Aiman pastinya sudah cukup pendedahan dan pengalaman untuk membentuk skuad yang lebih kuat dalam misi layak ke Sukan Olimpik 2024.
Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Zahan Rahmat. Jika anda ingin menghantar artikel kepada kami, hantarkan penulisan anda dalam format MS Word dengan minimum 300 patah perkataan ke [email protected] .