Foto Mesra Faisal Halim & Safiq Rahim Yang Mengusik Memori ‘Headbutt’ Ala Zidane

Faisal Halim Safiq Rahim rai gol kedua Malaysia Hong Kong 2022

Faisal Halim dan Safiq Rahim ada sejarah mereka yang tersendiri, yang jika disebut, semua pasti teringat akannya. ‘Headbutt’ ala Zidane adalah tajuk berita Semuanya BOLA ketika insiden tersebut berlaku musim lalu.

Semalam, kelibat mesra kedua-dua pemain telah berjaya dirakam lensa kamera jurugambar perlawanan ketika Safiq berhasil meledak jaringan kedua Harimau Malaya untuk mengatasi Hong Kong 2-0 dalam aksi pemanas badan, malam tadi. Beliau kelihatan terharu apabila sepakan percumanya berjaya menggegar jaring gol.

Sebelum itu, di babak pertama, Malaysia dilihat menguasai permainan menerusi deretan asakan ke kawasan defensive third lawan. Malah, tekanan demi tekanan yang diberikan oleh skuad negara berjaya membuat Hong Kong jadi serba tidak kena dan kerap melakukan kekasaran yang akhirnya menghadiahkan sepakan penalti.

Penalti yang diraih atas kekasaran terhadap penyerang sayap, Akhyar Rashid itu disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-31 untuk Malaysia mendahului perlawanan di babak pertama dengan kedudukan 1-0.

Dominasi Malaysia dalam perlawanan ini sehingga ‘tiada setitis peluh pun jatuh ke pipi’ penjaga gawang, Farizal Marlias menunjukkan yang skuad negara memberikan yang terbaik walaupun sedikit kehilangan rentak di babak kedua. Ia berlaku selepas beberapa pertukaran pemain mula dilakukan pengendali pasukan, Kim Pan-gon.

Saat perlawanan dirasakan akan berakhir dengan keputusan satu gol berbalas kosong, muncul gol maestro Harimau Malaya, Safiq Rahim di minit ke-90 yang turut diraikannya bersama Faisal Halim – secara kombo!

Apa lagi yang mampu diungkapkan. Jelas yang mereka tidak lagi pun bermusuh. Mungkin bersama kelab masing-masing, isu dan perjuangan yang berbeza. Kini, mereka memakai ‘warna’ yang sama – hitam kuning!

Sebelum ini pun, Faisal telah menjelaskan tiada dendam antara mereka ketika kedua-duanya menyertai skuad kebangsaan pertama di bawah kendalian Kim pada Mac lalu.

“Biasalah orang tua, dia suka marah-marah sikit,” jelas pemain sayap menyerang yang berjaya meledak jaringan sulungnya dalam perlawanan berdepan Brunei.

Faisal seperti yang diketahui seorang ‘pak lawak’ ketika bersama pasukan. Kita dapat lihat perkongsiannya di Instagram ketika bersama Terengganu.

Panggilan ‘orang tua’ itu pun sebenarnya dalam nada berguarau apabila beliau berkata yang beliau tetap menghormati Safiq sebagai pemain senior dalam skuad kebangsaan.

Foto keraian gol Safiq malam tadi meleraikan segala persoalan, adakah mereka benar-benar sudah berbaik. Tiada sebarang dendam disimpan apabila kedua-duanya tampak mesra dan diharapkan mereka akan terpilih dalam senarai akhir pemain yang bakal membawa cabaran skuad negara di kelayakan Piala Asia 2023.

GAMBAR: Ismail Azman/FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN