Jordan dan Bahrain bakal menjadi lawan buat skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023 ini bagi aksi Kumpulan E, selain mereka perlu menghadapi cabaran Korea Selatan.
Atas kertas, ketiga negara ini jelas berada pada satu tahap serta rekod lebih baik berbanding Malaysia dan menjadikan skuad kebangsaan sebagai ‘underdog’ di peringkat kumpulan tersebut.
Namun, Malaysia boleh dikatakan kini mampu untuk cuba memberi cabaran sengit buat pasukan lawan seperti Jordan dan Bahrain menerusi momentum dicapai mereka sejak beberapa perlawanan lalu.
Malah, skuad kebangsaan berpeluang untuk meraih mata pada saingan ini jika mereka mampu menampilkan aksi berkualiti serta lebih berdisiplin ketika berdepan cabaran dari dua negara Timur Tengah tersebut.
Ianya jauh lebih logik jika dibandingkan pada aksi terakhir Malaysia berdepan Korea Selatan yang boleh dikatakan hanya magis sahaja mampu menjulang negara untuk cuba mencuri walau satu mata daripada pasukan tersebut.
Hal ini turut diakui oleh Azlan Johar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan mengenai perjalanan pasukan negara di pentas Piala Asia 2023.
“Atas kertas, Korea Selatan mungkin payah untuk Harimau Malaya mengatasi pasukan itu. Namun, kita gunakan Jordan dan Bahrain sebagai tapak untuk meneruskan perjuangan di Piala Asia.
“Kita ada peluang kerana kekalahan mereka (Jordan dan Bahrain) dalam aksi persahabatan sebelum ini menunjukkan mereka ada kelemahan dan kita gunakan peluang yang ada itu sebaiknya,” katanya kepada BH Sukan.
Pada masa sama, Azlan turut mengingatkan kepada para pemain negara supaya tidak sesekali terleka walaupun menyedari Jordan serta Bahrain masih segar dengan kekalahan masing-masing pada aksi persahabatan lalu.
Tetapi, beliau menuntut supaya para pemain negara tampil lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada aksi tersebut supaya keputusan positif mampu diraih.
Untuk saingan kali ini, pastinya Malaysia memiliki hasrat tersendiri untuk cuba mencipta kejutan selepas kali terakhir mereka berada dalam saingan Piala Asia pada tahun 2007 lalu bersama aksi cukup teruk ditampilkan.
Hadir dengan persiapan rapi sejak tahun lalu, prestasi skuad kendalian Kim Pan-gon boleh dianggap meningkat dengan begitu cepat serta sudah meraih beberapa keputusan positif di pentas antarabangsa.
Tampil dengan barisan terkuat menerusi adunan pemain tempatan, warisan, serta naturalisasi pastinya Kim memiliki ramuan tersendiri untuk berhadapan lawan-lawan terkuat di Asia.