Kedah Darul Aman FC nampaknya membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan musim hadapan apabila memilih untuk hanya kekalkan dua pemain import dan apa pula yang Kpah Sherman ‘update’ di Instagram?
Walaubagaimanapun identiti pemain import, sama ada yang dikekalkan atau dilepaskan belum diumumkan dan akan diketahui dalam masa terdekat sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Cakap Sukan, semalam.
Berdasarkan temu bual dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali, beliau berkata, “Hanya 75 peratus barisan yang beraksi bersama pasukan Kedah musim ini akan kekal dan beberapa muka baharu juga akan turut diserapkan.” Ini bermaksud Kedah telah mengekalkan hampir semua pemain mereka musim ini.
Berdasarkan congakan, 75 peratus daripada barisan skuad utama skuad Hijau Kuning adalah 18 pemain. Jadi, hanya tujuh pemain yang bakal tinggalkan pasukan dan tiga daripadanya merupakan pemain import mereka.
Kpah Sherman: Nantikan ‘Gandingan Afrika’ Saya Bersama Kipre Tchetche – https://t.co/WU8Vrz6EbT pic.twitter.com/X3sh6dP3QW
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 4, 2019
Menurut Khamal mengenai pemain import, “Kami juga telah mengambil keputusan untuk terus mengekalkan khidmat dua daripada lima orang pemain import yang beraksi bersama kita musim ini.” Jadi, siapakah di kalangan lima pemain import dalam kem Kedah yang akan dikekalkan, dan siapa yang akan dilepaskan?
Kedah memiliki Renan Alves, Anumanthan Mohan, Rabih Ataya, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman. Jika dilihat kepada prestasi di kalangan mereka, mungkin hanya Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang akan kekal.
Begitupun, dalam satu perkongsian Kpah Sherman di akaun Instagramnya menerusi Insta Story, memberi bayangan seolah-olah beliau sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan bumi Jelapang Padi ketika ini. Ungkapnya, “Selamat tinggal atau semoga berjumpa lagi? Saya akan kenang Darul Aman selamanya.”
Sebagai penyerang, Kpah Sherman tampil cemerlang dengan meledak 13 gol dalam saingan Liga Super musim ini daripada 17 penampilannya. Kali terakhir penyerang Kedah meledak lebih 10 gol dalam semusim saingan liga adalah pada tahun 2017 yang telah dilakar oleh Ken Ilso dengan 15 gol dalam 18 penampilannya.
Jika benar mereka akan melepaskan Kpah Sherman, mereka perlu mendapatkan pengganti setara. Kedah sememangnya sukar mendapat penggempur terbaik sebagaimana yang telah dilalui beberapa musim lalu.
Terdapat pelbagai nama sudah diberikan peluang menjadi penyerang utama selepas Ken Ilso seperti Paulo Rangel, Pablo Palares, Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman, namun mereka tidak meninggalkan impak yang berkesan di jentera serangan skuad Hijau Kuning. Adakah Kedah akan bergelut mencari pengganti lagi?
Begitupun, jika diamati perkongsian di AllAfrica.com ketika Kpah Sherman tidak menyertai skuad kebangsaan Liberia, pihak di sana dimaklumkan yang beliau sedang dalam proses pembaharuan visanya dan jika disebutkan berkaitan visa atau permit kerja, ia berkaitan kontrak. Jadi, beliau dalam proses untuk memperbaharuinya.
Yang menjadi persoalan utama adalah sama ada ia dilakukan untuk kekal bersama Kedah atau pasukan lain?