Pemain skuad kebangsaan Indonesia, Hansamu Yama Pranata mendedahkan terdapat beberapa pasukan dari Malaysia yang sudah menghubunginya bagi menunjukkan minat untuk membawa beliau beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2021.
Nama pertahanan kental berusia 25 tahun itu mencuri perhatian peminat bola sepak Malaysia sejak kebelakangan ini apabila beliau telah dikaitkan dengan pasukan yang membuat penampilan terbanyak dalam kancah Liga Super Malaysia, Perak.
Spekulasi tersebut dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran yang melakukan ciapan di laman Twitter peribadinya dengan mendedahkan bahawa sudah terdapat perbincangan di antara pihak Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan wakil Persebaya Surabaya itu.
Meskipun mengakui sudah ada minat yang ditunjukkan, Hansamu bagaimanapun masih lagi enggan memberikan maklumat dengan lebih mendalam berkenaan perkara tersebut.
There is an update from another reporter, but the club has not said anything yet. As of now, I know there are talks between PAFA and Hansamu’s representatives.
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 20, 2020
”Beberapa kelab memang sudah menghubungi saya,” ujar Hansamu Pranata menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.
”Mungkin bukan sahaja saya [dari Indonesia], beberapa pemain lain juga saya dengar turut mendapat tawaran.”
”Jadi, [saya] belum mahu memikirkan tentang berita-berita tersebut. Apatah lagi pada ketika ini saya masih lagi terikat dengan kontrak bersama Persebaya.”
Memiliki ketinggian 181cm, Hansamu juga dilabel sebagai antara tonggak pertahanan kental yang dimiliki Indonesia pada ketika ini. Beliau turut beraksi ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno pada Mei tahun lalu.
Selain daripada memikirkan soal tawaran daripada Malaysia itu, Hansamu mempunyai perkara lain yang tidak kurang pentingnya apabila beliau ketika ini sedang menantikan kelahiran anak sulungnya.
Kredit featured image: Andrew Gal/NurPhoto via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai pemain Indonesia yang pernah beraksi di Malaysia:
Andik, Saddil Sandaran Indonesia Untuk Bermain Ofensif Berhadapan Malaysia
Dipanggil Saat Akhir, Saddil Ramdani Umpama ‘Perisik’ Sang Garuda