Seakan-akan serba tidak kena dengan persediaan Negeri Sembilan musim ini selepas melalui musim terbaik tahun lalu, berada di tangga ke-4 – hanya dipisahkan satu mata untuk melayakkan diri ke pentas Piala AFC 2023.
Mengumpul 41 mata, mereka di belakang Sabah FC yang menamatkan musim di kedudukan ke-3 dan tiga mata di belakang Terengganu FC.
Ia menggambarkan musim yang gemilang buat skuad kendalian K Devan, namun untuk permulaan musim baharu, segalanya tampak sedikit hambar.
Seharusnya mereka dalam persediaan yang rancak dek kerana kejayaan yang hampir digapai sebelum ini, tetapi sebaliknya sedang berlaku.
📊 KEDUDUKAN – LS22#LigaSuper2022 pic.twitter.com/B71R9VCg7F
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 15, 2022
Apa agaknya khabar Negeri Sembilan untuk kempen Liga Super 2023?
Sebelum ini, Devan dilihat menyuarakan tentang pemain import yang direkrut untuk musim ini yang baginya perlu ditambah lagi jumlahnya.
Setakat ini, Negeri Sembilan hanya memiliki tiga pemain import iaitu Herold Goulon, Ezechiel Ndouasel dan pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Levy Madinda. Dan dikhabarkan mereka sudah membawa masuk seorang lagi penyerang import oleh Astro Arena, sebentar tadi.
Pemain yang dimaksudkan adalah bekas pemain Penang FC, Casagrande yang dilihat bakal mengukuhkan jentera serangan bersama Ndouasel.
K Devan sahkan kehadiran Casagrande ke pasukan NSFC walaupun pemain kelahiran Brazil ini tidak bersama dalam Majlis pengumuman rasmi skuad 2023.
Kelibat Horold Goulon juga tidak kelihatan atas sebab peribadi.@ASTROARENA
— FinaNasrom (@fnasrom) February 19, 2023
Aksi pramusim yang dilalui setakat ini juga dilihat agak hambar apabila hanya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan yang diatur.
Mereka juga hanya meledak lapan gol – purata satu gol untuk satu aksi.
Penyokong Negeri Sembilan dilihat agak risau dengan perkembangan terkini pasukan, malah sudah ada bunyi-bunyi kurang enak sebelum ini.
Antara yang tersebar di media sosial adalah masalah tunggakan gaji yang dikatakan menjadi tajuk perbualan antara Zaquan Adha dan Shahrel Fikri, selain kualiti jersi keluaran Kelme yang dilihat jauh berbeza dengan musim lalu ketika mereka menggunakan pengeluar jenama tempatan, Kaki Jersi.
Begitupun, ia hanyalah ‘cakap kosong’ yang tidak bersandar bukti kukuh.
Hari ini telah berlangsung Majlis Pengenalan Pasukan NSFC 2023 yang telah berlangsung di Gembox, Nilai. Dan ia juga jadi serba tidak kena.
Dikhabarkan tonggak pertahanan, Goulon tidak muncul ketika majlis berlangsung, namun ia telah dijelaskan oleh Devan kepada pihak media.
Goulon dimaklumkan tidak dapat hadir atas sebab-sebab peribadi.
Malah, lokasi majlis juga menerima kritikan daripada penyokong dek kerana pengurusan memilih tempat yang tidak berbumbung menyaksikan majlis telah terganggu disebabkan hujan lebat yang turun mencurah-curah.
Jadi, apa agaknya khabar Negeri Sembilan untuk musim baharu?
Adakah hampir layak ke kempen Piala AFC 2023 tidak mencerminkan kekuatan Negeri Sembilan yang sebenar? Adakah mereka akan bergelut?