Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengakui keadaan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kini jauh lebih baik berbanding bulan lalu dalam saingan Pestabola Merdeka 2023.
Terdahulu, segelintir besar penyokong setia negara melaungkan rasa tidak puas hati dengan keadaan padang di SNBJ ketika Malaysia mengharungi dua aksi Pestabola Merdeka 2023 selepas ianya tampil dengan begitu mendukacitakan.
Malah, kritikan ketika itu turut dilemparkan sendiri oleh kem salah satu pasukan bertanding iaitu India yang tidak berpuas hati dengan kualiti padang di SNBJ pada saingan tersebut.
Menjelang saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada malam ini, pastinya ramai tertanya-tanya jika keadaan padang sudah diperbaiki atau kekal seperti sebelum itu.
Menurut laporan terbaharu, keadaan padang kini jauh lebih baik dan tiada lagi insiden permukaan padang akan terkopak seperti sebelum ini.
Ianya disahkan sendiri oleh Hamidin menerusi pemerhatian dilakukan beliau sejak dua minggu lalu dan mengakui SNBJ kini lebih baik berbanding aksi Pestabola Merdeka 2023 lalu.
Jelas Hamidin, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) jelas berusaha sehabis baik dalam memastikan keadaan rumput di SNBJ berada dalam keadaan baik serta peristiwa lalu tidak berulang.
“Kalau saya tengok dua atau seminggu lalu keadaan padang bukanlah ‘A’ tapi lebih baik daripada dulu. Bagus dan bersedia untuk digunakan kelak.
“Pada masa sama, tidak akan ada sesi latihan membabitkan kedua-dua pasukan (Malaysia dan Kyrgyzstan) di stadium terbabit.
“Apa yang boleh saya katakan keadaan padang 70 atau 80 peratus keadaan padang lebih baik cuma ada beberapa bahagian dalam usaha menambahbaik,” katanya menerusi Harian Metro mengenai keadaan padang di stadium.
Untuk hari ini, Malaysia bakal menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi peringkat Kumpulan D dengan pertemuan seterusnya berdepan Republik Kyrgyz yang dianggap sangat getir.
Harapan tinggi sudah tentu diletakkan oleh para penyokong supaya Malaysia mampu melakar kejayaan untuk menutup rasa kecewa akibat kekalahan lalu di pentas final Pestabola Merdeka 2023.
Malah ini juga menjadi peluang buat Kim Pan-gon untuk kembali memperbaiki ranking semasa negara menjadi lebih baik jika mereka berjaya menewaskan cabaran pelawat.