Bola sepak Turki telah melahirkan barisan pemain bola sepak yang menyerlah dalam dalam dunia bola sepak seperti Hasan Sas, Rustu Recber, Bulent Korkmaz, Umit Davala, Emre Belozoglu, Mustapa Izzet dan ramai lagi.
Daripada deretan pemain yang mewarnai bola sepak Turki ini, nama Hakan Sukur paling tidak asing lagi dalam sejarah bola sepak Turki. Dengan segala pencapaiannya ketika bergelar pemain, tak hairanlah beliau kini dilabel seorang lagenda.
Karier awal
Dilahirkan pada 1 September 1971 di bandar Adapazari, wilayah Sakarya, Hakan Sukur memulakan karier bola sepaknya bersama kelab tempatan, Sakaryaspor.
Melakukan debut dalam tahun 1989 pada umur 17 tahun tatkala Sakaryaspor baru sahaja dinaikkan pangkat ke Super Lig, Hakan Sukur masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Eskisehirspor dan menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan mereka menang 3-2.
Bertitik – tolak daripada gol tersebut, Hakan Sukur menjaringkan lagi 18 gol untuk tempoh 3 musim seterusnya sekaligus memperkenalkan diri sebagai antara prospek hangat bola sepak Turki untuk tempoh mendatang.
Selepas 3 musim di Sakaryaspor, Bursaspor melamar beliau untuk beraksi bersama mereka.
Walaupun tidak menjaringkan gol yang banyak ketika bersama Bursaspor untuk tempoh dua musim, persembahan dan aksi yang memberangsangkan Hakan Sukur membawa kepada dua perkara penting – panggilan menyertai skuad senior kebangsaan dan perpindahan ke Galatasaray.
Cipta nama di Galatasaray
Musim panas tahun 1992 menyaksikan permulaan sejarah gemilang Hakan Sukur apabila menandatangani kontrak bersama kelab yang berpengkalan di Istanbul, Galatasaray.
Diberi jolokan dengan nama “Lembu Jantan Bosphorus” kerana ketinggian dan ketajaman penyudahnya, Hakan Sukur menjaringkan 19 gol liga dan 5 gol dalam kejohanan piala untuk membantu Galatasaray meraih gelaran berganda pada musim tersebut.
Persembahan hebat beliau diteruskan untuk beberapa musim berikutnya. Ini membuatkan beberapa kelab Eropah mula berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.
Berhijrah ke Torino
Pada era 90-an, Serie A merupakan liga terbaik di Eropah dan ia menjadi destinasi pertama Hakan Sukur di luar Turki.
Hakan Sukur menyertai Torino pada musim panas tahun 1995 dan dengan reputasi antara kelab Itali yang mempunyai sejarah lagendanya yang tersendiri. Bagaimanapun Torino bukanlah tempat yang sesuai buat beliau.
3 musim di Galatasaray dengan koleksi jaringan dan pingat kejuaraan, Torino tersingkir ke Serie B pada kempen musim 1995/1996.
Lebih buruk lagi, Hakan Sukur hanya bermain sebanyak 5 perlawanan dengan 1 gol sahaja yang mampu beliau jaringkan. Gagal untuk menyesuaikan diri dan kurangnya aksi minit perlawanan, beliau berpindah pada pertengahan musim ke tempat di mana beliau berasa sangat selesa – Galatasaray.
Kembali ke Galatasaray
Kembalinya Hakan Sukur pada perpindahan musim sejuk ke Galatasaray menyaksikan beliau kembali menemui sentuhan jaringannya dengan meledak 16 gol dan membantu Galatasaray memenangi Piala Turki 1996 pada penghujung musim.
Kejayaan yang diwarnai dengan aksi ikonik dan berani pengurus, Graeme Sounness memacakkan bendera kelab Galatasaray di tengah–tengah padang Stadium Sukru Saracoglu selepas tamatnya aksi perlawanan akhir Piala Turki.
Titik tolak daripada kejayaan Piala Turki tahun 1996 menyaksikan kebangkitan dan deretan kejayaan yang diraih Hakan Sukur bersama Galatasaray untuk 4 tahun berikutnya.
Musim berikutnya beliau menjaringkan 38 gol liga, kurang satu daripada rekod 39 gol lagenda Metin Oktay dan menjadi pemegang rekod kedua terbanyak bersama – sama Tanju Colak.
Jumlah tersebut menyaksikan beliau berada di kedudukan ketiga dalam senarai Anugerah Kasut Emas Eropah dibelakang Mario Jardel di tempat kedua dan Luis Nazario de Lima Ronaldo di tempat pertama.
Galatasaray meraih kejuaraan liga pada musim tersebut. Ditunjangi oleh perancang lagenda Romania, Georghe Hagi (gambar bawah), Hakan Sukur dan Galatasaray memenangi liga pada 3 musim berikutnya ditambah dengan 2 kejayaan Piala Turki pada tahun 1999 dan 2000.
Hakan Sukur sendiri meraih anugerah individu Gol Kralı untuk 2 musim berikutnya dengan 33 dan 18 jaringan berjaya dicetak.
Kemuncak pencapaian hebat Hakan Sukur bersama Galatasaray pastinya pada musim 1999/2000 apabila Galatasaray menjulang Piala UEFA menewaskan Arsenal di Stadium Parken, Copenhagen, Denmark.
Dalam perlawanan tersebut, Galatasaray menang menerusi penentuan penalti 4-1 selepas terikat 0-0 dalam 120 minit permainan.
Kejayaan ini memahat sejarah buat bola sepak Turki apabila Galatasaray menjadi kelab pertama dan hingga kini satu–satunya kelab Turki yang pernah menjulang trofi kejuaraan peringkat benua Eropah.
Hijrah kali kedua
Deretan kejayaan dan kegemilangan yang diraih bersama Galatasaray menjadikan nama Hakan Sukur kembali mendapat perhatian dalam radar kelab–kelab sekitar Eropah.
Pada tahun 2000, Inter Milan sedang mencari penyerang untuk mengisi kelompongan akibat kecederaan jangka panjang Ronaldo yang digandingkan dengan Christian Vieri.
Dua nama berada dalam pertimbangan Inter Milan ketika itu – Hakan Sukur (Galatasaray) dan Mario Jardel (Porto). Dua penyerang ini dilabel antara yang terbaik dalam posisi tersebut pada ketika itu tetapi belum terbukti di liga peringkat tertinggi.
Akhirnya, Hakan Sukur terpilih dan beliau menyertai Inter Milan pada musim panas tahun 2000. Ironinya Mario Jardel mengambil alih tempat beliau di Galatasaray pada musim yang sama.
Kesukaran kembali menghantui Hakan Sukur apabila beliau gagal menemui rentak jaringannya bersama Inter. Penyerang dengan purata 30 gol semusim untuk tempoh lima musim sebelum ini hanya mampu untuk menjaringkan 5 gol daripada 24 penampilan.
Januari 2002 menyaksikan Hakan Sukur berpindah ke Parma, cuba untuk mengembalikan sentuhan di dalam liga yang menyaksikan beliau gagal sebanyak 2 kali. Namun prestasinya kekal malap dengan hanya 3 gol daripada 16 penampilan sebelum dilepaskan pada penghujung baki kontraknya.
Hakan Sukur mencuba nasib sekali lagi di liga peringkat tertinggi Eropah. Kali ini di Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Blackburn Rovers.
Disatukan semula dengan bekas pengurusnya di Galatasaray, Graeme Sounness, Hakan Sukur bermula di Blackburn Rovers dengan kecederaan patah kaki yang menyaksikan beliau terpaksa berehat selama 2 bulan.
9 penampilan dengan hanya 2 gol dijaringkan membuatkan reputasi beliau kian merudum. Ini membuatkan beliau gagal memperbaharui kontrak sekaligus menyaksikan Hakan Sukur kembali ke bumi Turki untuk kali kedua.
Peluang terakhir di Galatasaray
Selepas tamat kontrak bersama Blackburn Rovers, Hakan Sukur kembali menyertai Galatasaray pada musim panas tahun 2003.
Seperti dijangka, sentuhan gol beliau kembali apabila menyumbat 11 gol dalam 28 penampilan pada musim tersebut sebelum kembali prolifik pada musim–musim seterusnya.
Antara trofi yang dikecapinya pada kepulangan kali kedua ke Galatasaray adalah kejuaraan liga musim 2005/2006 dan juga Piala Turki tahun 2005.
Kejayaan terakhir Hakan Sukur bersama Galatasaray adalah kejuaraan liga pada musim 2007/2008, membantu pasukan merekodkan kejuaraan liga untuk kali ke-17 dalam sejarah kelab Galatasaray dengan 11 jaringan berjaya dijaringkan sepanjang musim tersebut.
Trofi tersebut merupakan penamat yang cukup indah buat beliau apabila mengumumkan persaraan pada akhir musim ketika usianya sudah menginjak angka 37.
Lagenda skuad kebangsaan
Karier Hakan Sukur di peringkat antarabangsa juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan pencapaiannya di peringkat kelab.
Beliau merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Turki dengan 51 gol. Namun, rekod jaringannya tidak cukup signifikan dengan pencapaian yang diraih bersama skuad kebangsaan.
7 gol dalam kempen kelayakan EURO 1996 disusuli dengan kemarau gol dalam pusingan akhir yang menyaksikan Turki tersingkir seawal peringkat kumpulan.
8 gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia 1998 tidak cukup untuk membantu Turki layak ke pusingan akhir di Perancis.
Kempen pusingan akhir EURO 2000 menyaksikan Hakan Sukur berjaya menjaringkan 2 gol dalam peringkat kumpulan dalam kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah bersama, Belgium sebelum terkandas di peringkat suku akhir kepada Portugal.
Piala Dunia Korea Jepun 2002 menyaksikan Turki tampil sebagai antara pasukan yang cukup menghiburkan dan penuh kejutan terutama sekali dengan kejayaan meraih tempat ketiga.
Namun Hakan Sukur hanya menjaringkan 1 gol sahaja sepanjang kejohanan tersebut. Walaubagaimanapun, jaringan tunggal yang dicetak beliau cukup istimewa apabila menjadi rekod kejohanan sepanjang zaman.
Beraksi dalam semua perlawanan sepanjang kempen tersebut sebagai ketua pasukan, prestasi Hakan Sukur dipersoalkan disebabkan ketumpulannya di hadapan gol serta dibayangi oleh aksi Ilhan Mansiz.
Detik sejarah tercipta dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang tuan rumah bersama, Korea Selatan.
Bertitik tolak daripada wisel permulaan daripada tengah padang, kesilapan pemain Korea Selatan dalam membuat hantaran ke belakang membolehkan Hakan Sukur menghukum kesilapan yang dilakukan ketua pasukan Korea Selatan, Hong Myung-bo sebelum menyepak bola melepasi penjaga gol Lee Won Jae.
Goi ini menjadikan beliau pemegang rekod penjaring terpantas Piala Dunia dengan 10.8 saat. Turki memenangi perlawanan tersebut 3 -2 dan rekod jaringan terpantas itu masih kekal sehingga kini.
Sepanjang 112 penampilan bersama Turki, Hakan Sukur telah menjadi kapten dalam 30 penampilan.
Selepas membuat beberapa penampilan dalam kempen kelayakan EURO 2008, nama beliau tidak terpilih untuk ke pusingan akhir di Jerman. Penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan direkodkan pada Oktober 2007 ketika berusia 36 tahun dalam perlawanan menentang Greece.
Turki tewas 0-1 dalam perlawanan tersebut.
Perjalanan politik
Selepas bersara daripada bola sepak, Hakan Sukur telah terjun ke dalam arena politik dan dipilih sebagai ahli parlimen di bawah tiket parti pemerintah, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan pada tahun 2011.
Pada tahun 2013, beliau meletak jawatan sebagai ahli parlimen di tengah-tengah kemelut skandal rasuah yang melibatkan menteri-menteri senior dan golongan yang rapat dengan Erdogan. Skandal ini dipercayai didalangi oleh Fethullah Gulen, pemimpin Gerakan Gulen yang juga merupakan sekutu rapat Erdogan sebelum ini.
Peristiwa rampasan kuasa ke atas kerajaan Turki yang dipercayai didalangi oleh Gulen pada 15 Julai 2016 menyebabkan nama Hakan Sukur tersenarai antara individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa.
Hakan Sukur telah disabitkan dengan kesalahan menghina Presiden Erdogan di Twitter. Beliau menafikan bahawa tweet yang dibuat ditujukan kepada Erdogan. Tetapi alasan itu ditolak oleh pihak pendakwaraya yang menyatakan tweet tersebut ‘dengan jelas’ ditujukan kepada Erdogan.
Sekiranya didapati bersalah, Hakan Sukur boleh dikenakan hukuman penjara 4 tahun.
Walaubagaimanapun, pendakwaan tidak dapat dibuat kerana Hakan Sukur berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau menyatakan tujuannya pergi ke California adalah untuk menguruskan projek akademi sukan dan belajar Bahasa Inggeris.
Tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan menghadiri perbicaraan di Turki dan status permohonan ekstradisi kerajaan Turki untuk membawa pulang Hakan Sukur ke Turki.
Legasi seorang lagenda
Perjalanan karier Hakan Sukur penuh dengan pelbagai pencapaian gemilang dan suram.
Sebagai seorang penjaring terbaik dalam sejarah bola sepak Turki, penyerang yang tidak boleh bermain di luar Turki, ahli politik yang berjuang untuk negaranya sehinggalah saat waran tangkap dikeluarkan, Hakan Sukur telah meninggalkan legasi yang unik dan tersendiri kepada Turki.
Nota editor: Artikel ini ditulis oleh pembaca Semuanya BOLA, Muhammad Hasif Bin Ahmad.