Selepas perlawanan minggu ke-7 atau lebih tepatnya, pada perlawanan ke-6 Melaka United, penjaring terbanyak musim lalu, Ifedayo Olusegun akhirnya berhasil membuka akaun jaringan – bukan satu, tetapi dua sekaligus.
Ia bukan dihasilkan menerusi sepakan penalti yang mungkin mudah dilakar oleh sesetengah penyerang. Kedua-dua golnya merupakan jaringan padang. Sebagai bandingan, penyerang Selangor FC, Caion – penjaring kedua terbanyak dalam carta, yang tiga daripada enam gol peribadinya adalah menerusi sepakan penalti setakat ini.
Untuk pendahulu carta penjaring terbanyak, Bergson, hanya satu daripada tujuh golnya dihasilkan menerusi sepakan penalti. Penalti atau tidak, jaringan adalah jaringan, namun ia dapat membezakan kualiti mereka.
Kisah & Statistik Ifedayo, Penggempur Berbisa Dari Nigeria Berdarah “Gergasi Merah”
Kemarau jaringan pemenang Kasut Emas musim lalu dengan 25 gol itu akhirnya menemui noktah jua dalam kemenangan 3-2 ke atas Kedah Darul Aman. Malah, beliau adalah hero kebangkitan dua kali Melaka United di gelanggang lawan itu. Pertama, untuk ikat kedudukan dan kemudian gol kemenangan di minit akhir perlawanan.
Ia perlawanan yang menarik buat penyokong kedua-dua pasukan apabila aksi serang balas telah ditampilkan sepanjang perlawanan. Mungkin motivasi untuk menang menghantui kedua-dua pasukan pada ketika ini.
Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Ngah Wanja pada minit ke-20 hasil hantaran Syafiq Ahmad di depan kotak penalti untuk disudahkan dengan rembatan deras penyerang tersebut menewaskan Bryan See Tian Keat buat kali pertama. Itu adalah jaringan peribadinya yang ke-4 dalam tujuh penampilannya.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 2-3 @MelakaUnitedFC
Dua gol pada lewat perlawanan membolehkan Melaka United bangkit untuk kemenangan ini.
Ifedayo Omosuyi (2) dan Emmanuel Oti menjaringkan gol Melaka, manakala gol KDA dijaringkan oleh Ronald Ngah dan Syafiq Ahmad.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/szcItH8s61
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 6, 2022
Pelawat tidak menunggu lama apabila akhirnya, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan tiga minit berselang selepas menerima hantaran lambung ke dalam kotak penalti oleh pemain sayap, Wan Zaharulnizam Zakaria.
Minit ke-27, Syafiq Ahmad berhasil membawa Sang Kenari kembali di depan menerusi jaringan torpedonya yang menewaskan Bryan See sebelum Emmanuel Oti menghidupkan semula peluang Melaka United di minit ke-79.
Di saat kedua-dua pasukan dilihat mungkin akan berpuas hati dengan keputusan seri, Ifedayo Olusegun sekali lagi muncul sebagai penjaring gol di minit-minit akhir perlawanan. Norshahrul Idlan Talaha mempamerkan kelincahannya memperdaya dua pemain Kedah sebelum melambung ke depan pintu gol untuk ditanduknya.
Skuad Hang Tuah tentunya gembira dengan kembalinya sentuhan peledak berbisa Liga Malaysia ini. Ia akan mampu mengangkat semula semangat mereka selepas permulaan hambar apabila berjaya mengatasi pasukan yang bakal bersaing di AFC Cup musim ini serta sentuhan jaringan Ifedayo Olusegun yang sudah kembali.