Disebalik kejayaan seorang pemain bola sepak, pasti ada diet ketat yang mengekori mereka termasuklah Erling Haaland.
Bintang Manchester City itu kini begitu sukar untuk dihalang kemaraannya dengan Haaland hanya tinggal lapan gol sahaja untuk dikejarkan sebelum boleh memecahkan rekod jaringan terbanyak musim lepas di Premier League.
Kualiti yang ada pada Haaland cukup membezakan dirinya dengan pemain lain dan selain menerusi latihan yang keras, diet yang mantap juga diamalkannya.
Namun begitu, diet yang diamalkan oleh Haaland adalah berbeza dengan majoriti pemain. Pendekatan yang digunakan Haaland adalah dengan kembali kepada alam semula jadi.
Haaland mendedahkan yang dirinya mengamalkan diet yang sebenarnya mudah dilakukan bukan sahaja pemain bola sepak tetapi semua orang.
Kuncinya adalah matahari, air dan daging.
Menurut Haaland, adalah penting untuk beliau mendapatkan kualiti cahaya matahari di pagi hari dan itu adalah amalan yang dilakukannya untuk kekal mantap.
Selain itu, Haaland juga turut mementingkan kualiti air yang diminumnya. Bukan sebarangan air yang diminum Haaland, beliau pastikan apa yang ditelan tidak memudaratkan badannya.
“Perkara pertama yang saya lakukan di pagi hari adalah untuk mendapatkan cahaya matahari kerana ianya baik untuk irama sirkadian saya.
“Saya juga telah mulakan untuk menapis air yang saya minum. Saya rasakan ianya baik untuk badan saya,” kata Haaland.
Irama sirkadian yang dimaksudkan oleh Haaland sebenarnya adalah circadian rhythms yang merupakan sebuah kitaran badan berubah-ubah dalam masa 24 jam.
Irama ini menggabungkan fizikal, mental dan tingkah laku dan kitaran ini akan berubah mengikut respon kita terhadap cahaya dan kegelapan.
Dan terbukti apabila mendapatkan cahaya matahari di siang hari ianya akan membantu badan menjadi lebih baik dan memperoleh vitamin yang baik.
Selain cahaya matahari dan air, Haaland juga mengamalkan makan daging untuk menaikkan prestasinya ketika beraksi.
Namun ianya bukanlah sebarang daging, tetapi adalah yang segar dan tidak diproses.
Malah, Haaland juga adalah seorang pemakan organ dalaman lembu seperti hati dan jantung!
“Orang lain katakan yang daging adalah tidak sihat dan mereka tidak memakannya tetapi saya risau dengan apa yang saya makan.
“Adakah mereka berkata mengenai daging McDonald’s atau daging daripada lembu yang dipastur yang tinggal berdekatan dengan rumah anda?
Haaland juga mengatakan yang beliau akan cuba dapatkan makanan dari sumber yang paling semula jadi dengan daging yang diperolehnya adalah daripada penjual tempatan.
“Paling penting, saya rasa makan makanan berkualiti adalah dengan memperolehnya daripada penjual tempatan,” ujar Haaland.