Adakah Kelincahan Al-Mardi Bakal Kejutkan JDT Di SSI?

Saingan Liga Super 2022 kembali bersambung pada malam ini dengan melibatkan semua pasukan bakal membuat perhitungan dalam misi untuk mencari tiga mata penuh perlawanan.

Salah satu perlawanan mencuri tumpuan ialah membabitkan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Berdasarkan perlawanan lalu, KDA gagal untuk mengutip sebarang mata apabila mencatat kekalahan 1-3 di tangan JDT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

JDT yang sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini tampak berkelebihan apabila bakal turun tanpa sebarang tekanan serta bermotivasi gelanggang sendiri.

Sementara KDA pula, mereka perlu untuk kembali berada di landasan terbaik bagi mengutip mata agar dapat menamatkan cabaran liga musim ini di kedudukan lebih baik.

Berikut merupakan tiga pemain yang dijangka bakal memberi impak besar pada perlawanan malam ini di SSI untuk membantu pasukan masing-masing meraih sesuatu positif.

Mahmoud Al-Mardi (KDA)

Pemain serangan yang dibawa masuk pada pertengahan musim ini dalam skuad kendalian Aidil Sharin itu tidak mengambil masa yang lama untuk memberi impak positif buat serangan KDA.

Beliau yang juga merupakan pemain kebangsaan Jordan ini mempunyai kualiti yang sangat baik menerusi kelincahan serta bijak mencuri peluang untuk meledak gol.

Seperti diketahui, berdepan JDT yang mempunyai barisan pertahanan terbaik itu memerlukan pemain serangan mampu untuk menggerakkan bola dengan lebih positif.

Jangkaan utama, Al-Mardi bakal menjadi pertaruhan penting untuk mencipta peluang gol buat KDA menerusi kreativiti dimiliki beliau.

Afiq Fazail (JDT)

Pemain kelahiran Pontian, Johor ini berjaya memberi aksi yang cukup cemerlang pada aksi lalu sewaktu bertemu KDA selain turut mencatat nama selaku penjaring gol.

Afiq merupakan salah seorang pemain yang sangat konsisten di bahagian tengah menerusi kerajinan beliau dan tahap stamina tinggi untuk menjadi nadi utama JDT bersama Natxo Insa.

Kelebihan lain pemain ini terletak kepada ketepatan beliau untuk mematahkan pergerakan pihak lawan di tengah serta mempunyai kualiti hantaran yang baik untuk mencari rakan sepasukan.

Fernando Forestieri (JDT)

Penyerang baharu yang ditandatangani JDT musim ini cepat memberi impak positif untuk meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemain kesayangan para penyokong menerusi aksi cemerlang ditampilkan.

Forestieri tampil musim ini untuk berpasangan bersama Bergson di bahagian serangan dan gandingan kedua pemain tersebut jelas sangat tajam dan berbahaya.

Pada aksi lalu, pemain tersebut tidak diturunkan beraksi dan pastinya kelibat beliau akan digunakan malam ini oleh Hector Bidoglio untuk memberi ancaman penting buat barisan pertahanan pelawat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN