“Saya harap mereka (Malaysia) akan meraih slot pasukan kedudukan kedua terbaik. Mereka layak untuk ke sana (pusingan akhir) kerana mereka ada kualiti tersebut.”
Itu adalah kata-kata pengendali China, Guus Hiddink yang dipetik daripada Goal.com sejurus menyaksikan skuadnya mengikat Harimau Muda dalam aksi terakhir Kumpulan J, pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 dengan keputusan 2-2 di Stadium Shah Alam.
Hiddink yang ditemui dalam sidang media menyatakan yang skuad negara memiliki kualiti yang melayakkan mereka untuk berada di kalangan 16 pasukan di pusingan akhir kejohanan itu.
Pusingan akhir akan berlangsung pada tahun hadapan di Thailand dan Malaysia akhirnya disahkan tidak layak selepas berakhir semua perlawanan peringkat kumpulan, lewat malam tadi.
Malaysia gagal mengulangi pencapaian edisi yang lalu – dengan layak ke pusingan akhir, malah melangkah hingga ke suku akhir.
“Saya tidak mengatakan ini kerana saya berada di sini (Malaysia), tetapi kerana saya telah melihat kualiti Malaysia,” tambahnya lagi mengenai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
China telah diberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan yang seakan-akan pentas akhir buat kedua-dua pasukan dan dua kali Malaysia berjaya mendahului aksi pada malam tadi.
Gawang Sang Naga yang tidak dibolosi sebarang gol dalam dua perlawanan sebelum itu akhirnya telah berjaya dirobek Harimau Muda, bukan sekali tetapi dua kali ianya digegar.
Begitupun, nyata rezeki bukan milik mutlak skuad negara apabila Jiang Shenglong berjaya menanduk masuk gol penyamaan buat lawan, enam minit sebelum perlawanan tamat.
Mengulas mengenai pasukannya dalam perlawanan ini, Hiddink menyatakan yang pemainnya memiliki karekter yang kuat walaupun dua kali mereka ketinggalan kepada Malaysia.
Hiddink tampil mengubah sedikit arahan taktikalnya dengan memasukkan pemain tinggi lampai seperti pemain bernombor 23, Shan Huanhuan dan mengarahkan lebih banyak hantaran bola tinggi ke dalam kawasan gol negara.
“Saya rasa pasukan saya memiliki ketahanan yang tinggi selepas mereka ketinggalan 1-0 dan 2-1. Mereka pamerkan watak dan personaliti mereka. Mereka selesaikan menerusi dua tandukkan.
“Ia beri kepuasan kerana kami tahu apa yang perlu dilakukan di minit-minit akhir – menyerang. Dan kami dihadiahkan dengan melayakkan diri ke pusingan akhir,” ujarnya lagi.
“Malaysia memiliki pemain yang bagus, berskil tinggi dan boleh beraksi dengan sangat baik. Mereka telah menyukarkan kami,” tambah pengendali berusia 72 tahun itu lagi.