Ketua jurulatih Kuala Lumpur memberikan bayangan bahawa penyerang prolifik mereka pada musim lalu, Guilherme de Paula bakal kembali beraksi untuk aksi pada minggu hadapan.
Yusri Che Lah yang ditemui ketika sesi post match reaction di iflix telah ditanya mengenai keberadaan Guilherme de Paula dalam skuad Warga Kota ketika melayan kunjungan Selangor nanti.
“Saya mengharapkan dia (Guilherme de Paula) akan kembali pada minggu hadapan. Sekiranya lulus ujian kecergasan, dia akan beraksi, insyaAllah,” komennya mengenai Guilherme de Paula.
Kuala Lumpur jelas tempang untuk aksi permulaan liga musim ini selepas hanya merekodkan dua jaringan dalam 4 perlawanan iaitu menerusi Afiq Razali dan penyerang import, Sylvano Comvalius.
Jentera serangan mereka jelas serba tidak menjadi dan ini diakui oleh pemain tengah dari Brazil, Paulo Josue dalam sesi yang sama sebelum itu yang ketiadaan Guilherme de Paula memberi kesan.
Hampir 50% daripada jumlah gol Warga Kota telah disumbang oleh penyerang yang memakai jersi nombor 10 itu iaitu 25 gol daripada 56 jaringan yang telah terhasil pada musim 2018.
Pada 2017, Guilherme de Paula juga bertanggungjawab memimpin Kuala Lumpur menjuarai Liga Premier dan meraih promosi ke Liga Super, malah memenangi kasut emas dengan 27 golnya.
Tidak dinafikan, ketiadaannya sedikit merencatkan perancangan Yusri Che Lah pada permulaan musim ini dengan penyerang import, Sylvano Comvalius diletakkan sebagai penyerang tunggal.
Mengulas mengenai aksi Derbi Lembah Klang berdepan Selangor pada minggu hadapan, Yusri Che Lah menaruh harapan yang skuad kendaliannya bakal memberikan aksi terbaik mereka.
Berdepan Selangor yang juga kini dalam krisis prestasi dengan hanya mampu meraih 3 mata daripada 5 perlawanan mungkin memberi sedikit nafas kelegaan buat pengendali berbakat itu.
“Perlawanan berdepan Selangor adalah satu-satunya peluang yang mana saya lihat ianya 50-50 dan kami beraksi di laman sendiri.
“Saya mengharapkan pemain saya untuk terus berjuang walaupun saya rasa tekanan yang mereka pikul tetapi ini adalah bola sepak,” tambahnya lagi sebelum menutup bicara.
Kuala Lumpur dijadualkan akan berdepan skuad kendalian B. Satiananthan pada minggu ke-6 liga di Stadium KLFA, Cheras yang pada musim lalu menyaksikan skuad Warga Kota tumpas 0-2.