Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure sah akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu pada akhir musim ini.
Pemain berusia 34 tahun itu bakal melakukan penampilan terakhir untuk Manchester City dalam perlawanan menentang Brighton pada Rabu hadapan.
Demikianlah masa hadapan Yaya Toure yang disahkan sendiri oleh Pep Guardiola dalams satu sidang media oleh kelab itu semalam.
Toure yang merupakan pemain antarabangsa Ivory Coast menyertai City dari Barcelona dengan nilai perpindahan £24 juta pada 2010. Beliau turut telah bersetuju menyambung kontrak setahun semusim pada 2017.
Pep Guordiola dipetik sebagai berkata:
“Yaya tiba di sini pada permulaan satu perjalanan. Apa yang kita telah capai pada hari ini adalah kerana apa yang dilakukan oleh beliau sebelum ini.”
“Kita tidak boleh lupakan era Roberto Mancini, dan diikuti oleh Manuel Pellegrini di mana Yaya merupakan pemain utama pasukan.”
“Perlawanan menentang Brighton akan menjadi perlawanan perpisahan buat Yaya. Dan kami mahu memastikan ia akan menjadi perpisahan terindah buat pemain seperti Yaya.”
Etihad akan menyambut kedatangan Brighton pada 9 Mei hadapan sebelum City berkunjung ke Southampton untuk perlawanan terakhir musim ini.
Sepanjang bersama City selama lapan musim, Toure telah melakukan 229 penampilan di EPL sahaja.
Sepanjang tempoh itu, Toure telah membantu City menjuarai kejuaraan liga sebanyak tiga kali, satu kejuaraan Piala FA, dan dua kejuaraan Piala Liga.
Namun ia jelas pada musim ini Etihad bukan lagi tempat untuk Toure setelah hanya tampil di dalam sembilan perlawanan liga setakat ini untuk Manchester City.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan daripada Yaya Toure mengenai perancangan masa hadapannya. Namun demikian, ianya tidak menjadi masalah untuk beliau kekal di England dengan kelab-kelab seperti Everton, Burnley dan Huddersfield adalah antara pilihan yang ada.
Toure turut boleh mengikut jejak langkah Zlatan Ibrahimovic untuk ke Major League Soccer (MLS), jika mahu menyertai New York City FC, yang turut dimiliki oleh rangkaian niaga Manchester City.