Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak akan mengulangi kesilapan Manchester United apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bertandang ke Huddersfield Town kendalian David Wagner, malam ini.
City turun ke Stadium John Smith dengan sasaran mengelak daripada menerima nasib sama seperti United kendalian Jose Mourinho yang dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di gelanggang itu bulan lalu.
Pengendali City, Guardiola menghormati ancaman yang ditampilkan anak buah Wagner sebagai pendatang baharu Liga Perdana, selepas mereka seri 0-0 dalam aksi Piala FA musim lalu sebelum menang pada perlawanan timbal balik di Stadium Etihad.
Mourinho menyalahkan pemainnya kerana mengambil mudah cabaran Town hingga menyebabkan kekalahan dan Guardiola mahu anak buahnya supaya tidak mengikut jejak seteru tetangganya itu.
“Kami tidak akan mengambil mudah,” kata Guardiola.
“Kami menentang mereka musim lalu, kami tidak mampu menang di sana dalam saingan Piala FA dan ia amat rumit di situ.
“Apa yang Wagner lakukan sudah terbukti, dalam Liga Kejuaraan, Liga Perdana dan perlawanan selepas itu. Keputusan ke atas United isyarat jelas tapi bukan hanya itu.
“Di laman sendiri mereka meraih keputusan yang baik. Mereka bermain dengan tersusun, padat, berdisiplin dalam bertahan dan mempunyai kualiti.
“Saya rasa semua pasukan mahu menang di laman sendiri. Huddersfield amat sukar, tapi ini bukan kali pertama kami ke sana.”
City yang sudah memenangi 18 perlawanan dan seri sekali dalam 19 perlawanan liga musim ini, akan turun tanpa John Stones yang mengalami kecederaan, tetapi kekosongan benteng itu bakal diisi Vincent Kompany yang beraksi ketika menang ke atas Leicester minggu lalu.
Huddersfield sudah pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk bangkit meraih keputusan positif selepas tewas 0-4 di Bournemouth, Sabtu lalu.
“Saya rasa peluang (untuk menang) seperti tidak realistik,” kata Wagner.
“Tapi semua orang tahu dalam bola sepak tidak ada yang mustahil.
“Semua orang tahu Manchester City adalah pasukan terbaik Liga Perdana ketika ini dan mungkin salah satu pasukan terbaik di Eropah serta dunia.” – AFP