Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menafikan yang beliau mendapatkan Jack Grealish kerana faktor rekod jaringan atau bantuan gol yang ditonjolkan pemain itu.
Sebaliknya, beliau diperoleh kerana faktor lain yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan City diatas padang.
Grealish kini sedang hangat dikritik oleh pemerhati bola sepak dek kerana faktor prestasinya di depan gol. Ditambah pula dengan nilai harganya yang cukup mahal membuatkan jangakaan tinggi diberikan kepadanya.
Namun begitu, Guardiola tetap gembira dengan sumbangan yang diberikan oleh pemain tersebut.
“Saya lebih dari gembira dan teruja dengan apa yang dia lakukan. Sekarang cumalah masa sahaja yang diperlukan untuk membina momentum yang dia ada pada awal musim.
“Kami tidak menandatangani dia kerana rekod jaringan atau bantuan gol yang hebat di Aston Villa. Ada sebab lain dan apabila dia beraksi, dia lakukannya [sebab itu],” jelas Guardiola.
Guardiola sememangnya tidak menilai Grealish atas faktor jaringan atau bantuan gol. Sebaliknya, impak gerakan berbahaya pemain tersebut ketika tidak mempunyai bola antara yang menjadi penilaian pengurus tersebut.
“Saya pun nak dia menjaringkan gol dan membuat bantuan jaringan dan dia lakukannya. Tetapi itu bukan perkara utama.
“Ianya adalah sumbangan ketika tanpa bola dan apa yang dia boleh lakukan untuk orang lain,”
Setakat artikel ini ditulis, Grealish telah menjaringkan gol pertamanya musim ini dengan meletakkan City di depan seawal minit pertama ketika menentang Wolverhampton Wanderers.