“Jangan fikir terlalu selesa semata-mata dan cukup kerana sudah beraksi di Liga Juara-Juara”, demikian reaksi pengendali Manchester City, Pep Guardiola ketika mengulas mengenai perjalanan pasukannya dalam pertandingan eropah itu pada musim ini.
Manchester City terselamat daripada permulaan yang kurang baik sebelum bangkit menewaskan Hoffenheim 2-1, menerusi dua jaringan Leroy Sane.
Kemenangan tersebut meletakkan The Citizen muncul sebagai juara Kumpulan F selepas mengumpul 13 mata, diikuti Olympique Lyonnais di tempat kedua dengan 8 mata.
Mengakui gembira dengan keputusan tersebut, Pep bagaimanapun menggangap keputusan itu belum lagi menjamin Man. City untuk kekal selesa selepas ini.
Tidak mahu nasib seperti Inter
Pep menegaskan bahawa dirinya tidak mahu City mengalami nasib yang sama seperti dihadapi oleh Inter Milan.
Inter Milan tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas diikat 1-1 ketika berdepan PSV Eindhoven di San Siro.
Skuad kendalian Luciano Spaletti pada awalnya berpeluang cerah untuk mara ke peringkat seterusnya namun segalanya berubah apabila pesaing Kumpulan B, Tottenham Hotspur turut mengutip satu mata ke atas Barcelona.
Jangan terlalu selesa
Situasi buruk yang menimpa Inter membuatkan Pep menyedari bahawa tiada satu pasukan pun yang boleh berada dalam keadaan selesa untuk bersaing di pentas Liga Juara-Juara.
Jika tidak, pasukan itu akan menerima nasib yang sama seperti apa yang berlaku pada Inter Milan.
“Pasukan-pasukan besar telah tersingkir. Inter adalah pasukan yang luar biasa dan mereka kini berada di Liga Europa.”
“Banyak pasukan yang hebat akan bermain di sana,” kata Guardiola pada dipetik dari Football Italia.
Tambahnya lagi, “Jika suatu hari anda tertidur, anda pasti akan berada di Liga Europa, sebab itulah saya merasa lega berada diperingkat 16 pasukan terbaik.”
Pusingan kalah mati
Kemenangan ke atas Hoffenheim mengesahkan Manchester City sebagai pemenang Kumpulan F- sekaligus mengelakkan juara Inggeris itu dari berhadapan lawan yang sukar.
Peraturan oleh UEFA juga tidak membenarkan kelab dari negara yang sama dari diundi menentang satu sama lain di pusingan 16 pasukan terbaik – sekaligus bermakna City tidak akan bertemu Manchester United, Liverpool dan juga Tottenham Hotspur di pusingan berikutnya.
City selaku pasukan tunggal dari England yang tampil sebagai juara kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara pada musim ini berkemungkinan akan bertemu Atletico Madrid, Schalke, Ajax, atau pun AS Roma di pusingan berikutnya.
Undian untuk menentukan lawan di pusingan kalah mati akan diadakan pada 17 Disember, manakala pusingan kalah mati akan mula berlangsung pada Februari dan Mac.