Setiap kali jendela perpindahan tiba, pasti ada saja rekod perpindahan baharu yang dipecahkan.
Baru-baru ini, Manchester City telah memecahkan rekod perpindahan kelab apabila melengkapkan perpindahan bagi pemain pertahanan iaitu Aymeric Laporte dengan nilai £57 juta.
Ketibaan Laporte itu telah menjadikan barisan pertahanan termasuk penjaga gol bagi pendahulu Premier League itu kini sudah mencecah melebihi nilai £200 juta!
Ternyata perbelanjaan besar yang dilakukan oleh Pep Guardiola telah menghadirkan kritikan kepada beliau.
Akan tetapi, beliau punya respon tersendiri mengenai situasi tersebut.
“Kami terbuka dalam menerima kritikan. Inflasi yang berlaku dalam pasaran pemain ketika ini menyebabkan kelab terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan seseorang pemain.”
“Ada pasukan yang menghabiskan £300 juta hanya untuk 2 pemain, kami belanjakan nilai itu untuk 6 pemain!”
Kata Guardiola, keputusan untuk membeli sejumlah pemain ini adalah bagi menggantikan beberapa pemain yang telah kehabisan kontrak sebelum ini.
“Sebelum ini kami ada enam hingga tujuh pemain yang telah kehabisan kontrak bersama kami. Jadi, kami dapatkan enam, tujuh pemain baharu untuk sebagai gantian.”
Cara sesebuah kelab untuk berbelanja itu telah ditetapkan oleh kelab itu sendiri.
Malah, Guardiola tidak menolak kemungkinan di masa hadapan akan terhasil kebiasaan untuk sesebuah pasukan membeli pemain dengan nilai £200 juta.
“Kita perlu berbelanja untuk terus kekal di tahap yang tinggi. Mungkin satu hari nanti kita akan saksikan kelab membeli pemain dengan nilai £200 juta seorang.”
Selepas mendapatkan Laporte, Manchester City dikatakan mahu mendapatkan Riyad Mahrez dari Leicester City dengan nilai perpindahan £60 juta.