Bintang Athletico Madrid, Antoine Griezmann mahu menampilkan aksi terbaik di atas padang bagi membantu skuad Les Bleus meraih trofi Piala Dunia 2018 menjelang aksi final menentang Croatia di Stadium Luzhniki, Moscow malam ini.
Jelasnya, anugerah Ballon d’Or sudah tidak berada dalam kepalanya kerana dia lebih peduli untuk menjulang Piala Dunia berbanding anugerah pemain terbaik dunia berkenaan.
“Ini merupakan peluang keemasan untuk meraih trofi Piala Dunia. Saya sudah tidak kisah lagi tentang Ballon d’Or asalkan Perancis menjadi juara. Bagi merealisasikan matlamat itu, saya akan memberikan segala-galanya di atas padang.
“Saya juga akan membantu rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol kerana berdasarkan pemerhatian, jika saya menjaringkan banyak gol, kami mungkin akan tewas. Saya lebih rela menjadi pembantu pasukan di bahagian tengah.
“Skuad Perancis sudah faham corak permainan yang diterapkan. Kami perlu beraksi sebagai satu pasukan dan elak sikap tamak yang akan mensia-siakan peluang menjaringkan gol,” katanya.
Skuad Perancis dikritik beberapa hari lepas kerana menampilkan corak permainan yang buruk dan lebih banyak bertahan daripada menyerang.
“Saya tidak peduli. Saya hanya mahukan bintang (ditampal di jersi untuk pasukan juara dunia).
“Kalau saya dapat bintang itu, saya tidak peduli bagaimana cara kami bermain,” katanya dalam sidang akhbar.
🇫🇷 Antoine Griezmann:
🗣 “I was the top scorer at Euro 2016 and we lost, so I tried to score as few as possible to see if we win this time"
😂 Seems to be working, Antoine. pic.twitter.com/bbw2lfOQYP
— SPORF (@Sporf) July 14, 2018
Griezmann juga telah menjaringkan tiga gol di Rusia, namun dua daripada jaringan itu hadir menerusi sepakan penalti.
“Saya pernah menjadi penjaring terbanyak, tetapi pasukan kami tewas.
“Jadi, saya beritahu diri sendiri, biar tidak menjaringkan gol asalkan kami boleh menang.
“Kalau saya boleh jaringkan gol, ia lebih bagus tetapi saya adalah pemain yang lebih mementingkan pasukan dan bukan jaringan peribadi,” tegasnya lagi
Sebagai rekod, Perancis mencatatkan lima kemenangan sepanjang pertemuan dengan Croatia termasuk menang 2-1 pada aksi separuh akhir Piala Dunia 1998.