Bojan Hodak: Orang Croatia Jadikan Sukan Sebagai Jalan Untuk Keluar Daripada Kemiskinan

Kejayaan skuad kebangsaan Croatia melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Russia telah menarik perhatian Ketua Jurulatih skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B19), Bojan Hodak.

Bojan yang baru sahaja membantu skuad negara menjuarai Kejohanan AFF B19 di Indonesia, menyifatkan kejayaan skuad Piala Dunia negaranya itu adalah hasil daripada penghijrahan pemain ke kelab luar negara.

“Dengan populasi lebih 4 juta orang, Croatia ialah sebuah negara yang miskin dan sukan merupakan satu-satunya jalan untuk keluar daripada kemiskinan itu.

“Fasiliti dan kemudahan latihan bola sepak tidaklah begitu mewah seperti negara eropah yang lain tetapi pemain muda di sana melihat bola sepak sebagai passport untuk bermain di luar negara.

“Kejohanan peringkat remaja di Croatia amat kompetitif memandangkan semuanya mahu meraih kejayaan dan menyara kehidupan dangan bola sepak.

“Apa yang mereka mahukan adalah bermain untuk kelab terkemuka di Eropah,” katanya seperti dipetik dalam New Straits Times.

Bojan Hodak berjaya membawa skuad bawah 19 tahun negara mencipta sejarah menjuarai kejohanan AFF buat kali pertama. FOTO: PSSI TV

Bojan yang pernah melatih pasukan Kelantan dan JDT sangat mengenali pengendali Croatia, Zlatko Dalic dan juga pembantunya, Drazen Ladic.

“Saya sangat menghormati Zlatko Dalic kerana beliau berjaya menyatukan pemain yang mempunyai latar belakang berbeza dalam Piala Dunia.

“Ianya bukan kerja mudah untuk mengendalikan pemain yang mempunyai nilai gaji besar bersama kelab masing-masing tetapi Dalic berjaya membuatkan mereka bermain untuk negara dengan bangga,” katanya.

Ketua jurulatih skuad Piala Dunia Croatia, Zlatko Dalic. FOTO: REUTERS/Valentyn Ogirenko/File Photo

Menurut Bojan, Zlatko Dalic pernah menyertai satu kejohanan di Kuala Lumpur bersama skuad kebangsaan Croatia (B19) pada tahun 2008.

“Ladic dan saya merupakan rakan baik dan saya juga memang mengenali Dalic. Mereka datang sini dengan skuad muda untuk menyertai Kejohanan Bawah Umur 21 Tahun di Kuala lumpur.

“Kami banyak bersembang dan saya membawa mereka ke sebuah restoran cina di Subang untuk makan malam. Mereka hanyalah orang biasa seperti kita. Apabila mereka ke sini lagi, mereka akan menghubungi saya untuk membawanya ke kedai makan di tepi jalan sekitar Kuala Lumpur,” cerita Bojan Hodak.

Salah seorang daripada skuad muda Croatia ketika menyertai kejohanan di Kuala Lumpur ketika itu, kini berada dalam skuad Piala Dunia yang akan menentang Perancis di perlawanan akhir malam ini.

“Ada seorang pemain dalam skuad Piala Dunia Croatia yang pernah bermain di Kuala Lumpur. Beliau ialah pemain tengah, Milan Badelj, pemain muda Dinamo Zagreb ketika menentang skaud Malaysia B16 dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 2004.

“Saya rasa penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan Pahang, Bunyamin Omar berada dalam skuad muda Malaysia ketika itu,” jelasnya.

Milan Badelj kini beraksi dengan kelab Itali, Florentina.

Mengulas mengenai perlawanan akhir Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada pukul 11 malam ini, Bojan berpendapat skuad Croatia perlu ambil perhatian terhadap serangan balas skuad Perancis.

“Mereka perlu berwaspada terhadap rangkaian serangan Perancis. Croatia mungkin akan menguasai bahagian tengah tetapi bahaya akan datang jika mereka kehilangan bola. Mereka perlu cepat bertindak dan menguatkan benteng pertahanan.

“Croatia mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi barisan pertahanan mereka harus lebih kompak. Sudah tentu, saya mahu negara saya menjuarai Piala Dunia tahun ini,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN