Pemain Argentina, Gonzalo Higuain telah mengumumkan persaraan beliau daripada kancah bola sepak.
Higuain yang kini beraksi untuk Inter Miami di Amerika Syarikat mengatakan yang dirinya akan meninggalkan bola sepak profesional selepas tamatnya musim Major League Soccer (MLS) untuk edisi 2022.
Bercakap kepada media, Higuain menyatakan yang beliau berasakan sudah tiba masanya untuk meninggalkan bola sepak selepas memperoleh karier yang gemilang.
“Selepas memperoleh karier terindah saya, saya rasakan bola sepak sudah berikan terlalu banyak untuk saya.
“Ucapan terima kasih tak terhingga kepada semua yang percayakan saya, kini sudah tiba masa untuk ucap selamat tinggal,” kata Higuain.
Higuain antara satu diantara beberapa pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di pelbagai kelab terutamanya serata Eropah.
Lebih menarik, semua kelab yang disertai beliau di Eropah adalah yang bertaraf elit.
Dalam masa yang sama, Higuain juga sempat ‘tembak’ penyokong bola sepak yang dilihat begitu toksik pada hari ini dan ianya membuatkan pemain ‘lemas’ dengan kecaman melampau.
“Wujudnya budaya toksik dalam sukan bola sepak di media sosial. Anda tidak boleh bayangkan kesan yang diterima terhadap komen-komen di media sosial.
“Saya benar-benar menderita, mujur ada keluarga yang membantu. Jadi, semua orang kena fikir dulu sebelum menyerang di media sosial – ini adalah topik yang serius,” ujar Higuain.
Ada masanya, Higuain sering menjadi sasaran kepada kecaman hebat penyokong bola sepak semasa kariernya.
Paling dikenang adalah ketika beliau meninggalkan Napoli untuk menyertai musuh tradisi Juventus, prestasi yang tidak menyakinkan sewaktu bersama Chelsea dan semasa bersama-sama Argentina.
Walaupun Higuain mempunyai turun naik dalam zaman bermainnya, tetapi kariernya yang diperolehnya pastinya amat dicemburui semua.
Bermula dengan River Plate di Argentina, Higuain disambar Real Madrid sebagai pemain muda yang kemudiannya mencipta nama di Napoli.
Selepas bersama Napoli, Higuain berpindah ke Juventus sebelum menjalani dua proses pinjaman di AC Milan dan Chelsea.
Beliau kembali ke Juventus untuk satu musim lagi sebelum berkelana di Inter Miami.
Higuain juga adalah muka tetap untuk skuad kebangsaan Argentina dan pernah mewakili negaranya dalam pelbagai kejohanan utama dunia.
Namun malangnya, beliau tidak berkesempatan untuk merasa kejuaraan bersama negaranya.
Selamat bersara, Gonzalo Higuain.