Andik Vermansah adalah pemain terakhir yang berjaya menghadiahkan kemenangan terakhir Selangor ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2017.
Ia merupakan perlawanan Liga Super yang ke-19, berbaki tiga perlawanan untuk musim tersebut melabuhkan tirainya dimana JDT adalah juaranya.
Mungkin ada yang mengatakan JDT sudah memperlahankan momentum mereka menuju ke penghujung kempen liga yang mereka dominasi sejak minggu ke-9 lagi. Tetapi, realitinya Harimau Selatan turun untuk menang.
Hanya kemenangan akan menghadiahkan mereka kejuaraan keempat liga.
Mereka menurunkan barisan terbaik mereka pada musim itu. Bersaksikan lebih 11,000 penyokong, JDT menurunkan penjaring terbanyak, Mohamad Ghaddar, pembuat ‘assists’ terbanyak, Safiq Rahim dan penyerang sayap sensasi, Gonzalo Cabrera untuk ‘mengajar’ The Red Giants di Selayang.
Jika mereka menang, mereka akan menjulang terus trofi kejuaraan liga.
Ia bermula sempurna apabila Natxo Insa mencetak gol pertama pada minit ke-39 menewaskan Norazlan Razali untuk JDT mendahului perlawanan.
Gol itu merupakan gol ketiganya pada musim pertama di Liga Malaysia.
Selangor bangkit untuk memenangi perlawanan bermula dengan jaringan Amri Yahyah pada minit ke-59 untuk Selangor mengikat kedudukan. Amri menerima lontaran ke dalam sebelum melewati benteng pelawat dan melepaskan rembatan dari sudut sukar untuk menewaskan Izham Tarmizi.
Sebelum itu, Forkey Doe memiliki dua peluang untuk meletakkan Selangor di depan menerusi dua percubaan pada minit ke-30 dan ke-44, namun Izham cemerlang menafikan rembatan penyerang sensasi Selangor itu.
Minit ke-77, pemain gantian, Andik Vermansah yang masuk menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat meledak gol menakjubkan buat tuan rumah.
Ia telah memecah sorakan padu penyokong yang ternanti-nanti jaringan kedua terhasil dan ia telah dijelmakan oleh pemain gantian, Andik.
Pemain skuad kebangsaan Indonesia itu menerima hantaran jauh oleh A Namathevan dan terus melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Izham buat kali kedua pada malam tersebut.
Malah gol ini menjadi sedutan istimewa oleh Andik saat mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong The Red Giants pada musim itu.
Bagaimanapun, ia tetap malam yang dikenang JDT apabila mereka tetap diberikan trofi kejuaraan selepas musuh terhampir kalah pada malam tersebut. Kedah yang merupakan pencabar tewas 1-2 kepada Pahang.
Ini adalah rangkuman perlawanan yang merupakan kemenangan terakhir Selangor ke atas JDT hasil jaringan Andik Vermansah pada 2017.