Minggu ke-6 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Satu perlawanan diadakan pada Jumaat, empat lagi berlangsung pada Sabtu, dan pertemuan diantara Kuala Lumpur menentang Selangor di Cheras melengkapkan enam perlawanan sepanjang hujung minggu yang lalu.
15 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Empat daripadanya adalah sepakan penalti. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan. Lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik minggu ini.
Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Jaringan daripada sepakan penalti juga tidak diambil kira. Ia juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.
5. Tamirlan Kozubaev vs Felda United
PKNS FC melonjak ke tangga ke-4 Liga Super setelah menewaskan Felda United 2-0 pada hujung minggu lalu. Jaringan pemain import dari Kyrgyzstan, Tamirlan Kozubaev berjaya memadam terus cabaran Felda United dalam perlawanan ini.
Hanya dibolosi dua kali setakat ini, Tamirlan bukan sahaja berjaya membentuk gandingan yang mantap bersama Rodney Calvin di bahagian pertahanan tengah. Tandukan tajam yang menerjah ke tanah sebelum menewaskan Norazlan Razali juga membuktikan pemain berusia 24 tahun ini adalah aset PKNS FC dalam gerakan set pieces.
47′ | GOL TAMIRLAN KOZUBAEV!
Semut Merah menambah gol kedua selepas hantaran lintang dari Gabby Guerra ditanduk masuk oleh pertahanan Tamirlan Kozubaev.@ThePKNSFC 2-0 @feldaunitedfc #PKNSFEL#unifiLigaSuper2019 #MFLLive pic.twitter.com/paVHEgb0vS
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
4. Sanjar Shaakhmedov vs Melaka
Selepas lima perlawanan dilalui, Sanjar Shaakhmedov akhirnya berjaya membuka akaun jaringan di unifi Liga Super Malaysia. Secara teknikal, pemain dari Uzbekistan ini sememangnya memiliki kebolehan yang amat baik. Beliau juga begitu hampir untuk menjaringkan gol dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.
Kali ini, Sanjar bertindak lebih baik dan klinikal. Mengawal cantik hantaran dari Lee Tuck, beliau memperdayakan seorang pemain pertahanan Melaka United. Selepas itu Sanjar hanya perlu memastikan bola melepasi Khairul Fahmi untuk Terengganu melebarkan pendahuluan dalam perlawanan ini.
42′ | GOL SANJAR!
Kawalan dan rembatan cantik dari Sanjar Shaakhmedov meletakkan Sang Penyu 2 gol dihadapan.@FCTerengganu 2-0 @MelakaUnitedSA #TERMEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/Pnyz3vOSPR
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
3. Syazwan Zainon vs Kuala Lumpur
Tidak syak lagi bahawa gol Syazwan Zainon dalam perlawanan ini adalah pencetus kepada kebangkitan skuad The Red Giants daripada ketinggalan dua gol, sebelum menang 3-2. Mungkin terdapat sedikit unsur nasib, namun masih kita tidak dapat menafikan ia adalah jaringan yang berkualiti.
Berpunca dari Halim Saari, bola gagal dibaca oleh Hafiz Johar, sebelum ianya disambut oleh Syazwan dengan tenang. Sentuhan pertama yang baik membenarkan Syazwan melarikan bola itu ke dalam kotak penalti, sebelum menewaskan Sharbinee di near post dengan satu rembatan padu.
71′ | GOL SYAZWAN ZAINON!
Hantaran baik dari Halim Saari di kawal baik oleh Syazwan Zainon dan selepas itu disudahkan dengan rembatan cantik untuk gol kedua Red Giants pada malam ini. @kualalumpurfa 2-2 @FASelangorMy #KLSEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/bX2MPdshIQ
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 10, 2019
2. Ahmad Syamim Yahya vs Melaka
Satu seranan balas oleh skuad Penyu yang disempurnakan dengan tenang oleh Ahmad Syamim Yahya. Pada kedudukan 2-0, Terengganu FC mungkin sudah selesa. Namun satu lagi jaringan akan memastikan tiga mata milik mereka. Apatah lagi ketika perlawanan berbaki 15 minit. Dan itulah perkara yang dilakukan oleh Syamim Yahya.
Berpunca dari hantaran Ashari Shamsudin dari tempat sendiri, Syamim berjaya mengejar untuk mendapatkan bola. Walaupun cuba dikepung oleh seorang pemain pertahanan Melaka, beliau tetap tenang dengan beberapa sentuhan untuk mengawal, sebelum melambung masuk bola menewaskan Khairul Fahmi yang menerjah keluar untuk cuba menyelamatkan keadaan.
74′ | GOL SYAMIM YAHYA!
Umpanan cantik Ashari disudahkan dengan baik oleh Syamim untuk meletakkan Sang Penyu selesa 3 gol dihadapan.@FCTerengganu 3-0 @MelakaUnitedSA #TERMEL#unifiLigaSuper2019 #MFLLive pic.twitter.com/uEazlGwYAU
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
1. Syafwan Syahlan vs Selangor
Tanpa tonggak import seperti Sylvano Comvalius dan Guilherme de Paula di dalam kesebelasan utama, Yusri Che Lah mempertaruhkan dua pemain tempatan – Syafwan Syahlan dan Indra Putra Mahayuddin. Strategi Yusri Che Lah hampir berhasil setelah kedua-dua pemain itu masing-masing menjaringkan satu gol.
Melalui peluang pertama yang terhidang, penyerang berusia 26 tahun itu berjaya menanduk masuk hantaran lintang cantik Zaiful Hakim, untuk mengejutkan Selangor. Menariknya, larian Syafwan untuk menanduk bola tersebut mampu mengelirukan dua pertahanan lawan – termasuk tongak import, Taylor Regan – sebelum melakukan placing di penjuru kiri penjaga gol.
5′ | GOL SYAFWAN SYAHLAN!
Baru 5 minit berlansung, hantaran lintang cantik dari Zaiful ditanduk masuk oleh Syafwan untuk pasukan tuan rumah mendahului ketika ini!@kualalumpurfa 1-0 @FASelangorMy #KLSEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/5zAx5ByGGN
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 10, 2019
Rumusan
Tiga daripada lima jaringan di atas dihasilkan oleh pemain tempatan. Jaringan Syafwan Syahlan paling mencuri tumpuan – turut menceritakan keberanian Yusri Che Lah untuk bersandar kepada khidmat pemain tempatan.
Begitu juga jaringan Syamim Yahya dan Syazwan Zainon. Sudah pasti kita mahu melihat lebih ramai pemain tempatan menghasilkan jaringan berkualiti di masa akan datang.