Jika ditanya, siapakah pemain terbaik sepanjang zaman di EPL, anda pasti akan menjawab Ryan Giggs walaupun anda penyokong Liverpool, Manchester City atau Arsenal.
Ryan Giggs telah beraksi dalam 963 perlawanan untuk Manchester United.
Karier Awal
Ryan Giggs dilahirkan pada 1973 di Cardiff, Wales sebelum berpindah bersama keluarganya ke Salford ketika beliau berusia 6 tahun.
Di bangku sekolah Giggs bermain untuk Salford Boys iaitu sebuah kelab kecil di Manchester. Giggs kemudian mengembangkan bakat bola sepak beliau di akademi Manchester City.
Giggs dimasukkan dalam program khas kerana dianggap luar biasa berbanding dengan remaja-remaja lain.
Debut Bersama United
Tidak lama selepas itu beliau ditandatangani oleh Manchester United pada tahun 1987 dan diserapkan ke dalam pasukan remaja.
Di bawah revolusi Ferguson yang dilantik pada 1986, United mulai menghadirkan ancaman kepada Liverpool dan Arsenal.
Beliau memberikan Giggs kontrak profesional pada 1990. Selepas perkembangan bakat yang pesat, Giggs akhirnya membuat debut pasukan utama.
Beliau menggantikan Denis Irwin yang cedera dalam perlawanan menentang Everton pada Mac 1991. Giggs bermain bek sisi.
2 bulan kemudian Giggs melakukan debut penuh untuk United ketika menentang bekas pasukannya ketika remaja, Manchester City.
Pemain yang istimewa biasanya akan melahirkan perkara luar biasa untuk memperkenalkan diri kepada umum. Itu yang dilakukan Giggs apabila beliau berjaya menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Pada 1992, Giggs menjadi kapten pasukan yang digelar Class of ’92 menjuarai Piala FA remaja Inggeris.
Posisi
Sebahagian besar kariernya, Giggs memang dikenali dengan pemain sayap kiri, Beliau memiliki skil dan kelajuan yang membunuh ruang dan juga pertahanan.
Gol beliau di Villa Park ketika separuh akhir Piala FA pada 1999, adalah antara gol penting dalam usaha United mendapatkan treble pertama mereka dalam sejarah.
Phil Neville dalam dokumentari Khas ‘Kelas Cemerlang ’92, melabel jaringan menentang Arsenal tersebut sebagai ‘detik Giggsy.’
Ferguson bersetuju pada musim 1999 adalah musim paling gemilang untuk Ryan Giggs. Sepanjang era 90-an dan awal 2000 Giggs telah menjadi instrumen penting dalam sistem gemilang 4-4-2 United.
Walaupun ramai tidak begitu memberikan kredit kepada Giggs berbanding Beckham dari segi kemampuan mencipta peluang gol, namun statistik menunjukkan beliau telah melakukan 162 assist dalam karier beliau bersama United.
Pengulas bola sepak mulai melabel Ryan Giggs sebagai revolusi no.11 (sayap kiri). Mulai kedengaran istilah pemain sayap sempurna adalah seperti Giggs bukannya Beckham.
Pada tahun-tahun akhir Giggs di United, dia mulai ditukarkan ke bahagian tengah kerana kemampuan hantaran jauh beliau. Pada masa yang sama, Giggs sudah tidak selaju dahulu lagi untuk menewaskan bek sisi dalam EPL yang laju.
Kecerdasan menjadi aspek penting dalam proses adaptasi beliau. Ketika United mara ke final UCL pada tahun 2011, Giggs amat berpengaruh dalam kempen United.
Beliau bergandingan dengan Michael Carrick di semua perlawanan fasa kalah mati. Beliau melakukan 3 assist penting ketika menentang Chelsea dalam dua perlawanan suku akhir.
Menjaringkan gol ke atas Schalke dalam perlawanan separuh akhir pertama dan mencipta peluang gol yang disudahkan Wayne Rooney untuk gol penyamaan United menentang Barcelona ketika final di Wembley.
Jumlah Penampilan Luar Biasa
Pada tahun 2012, Giggs berusia 38 tahun. Beliau sudah bermain 963 kali untuk United dan 1,031 perlawanan untuk semua peringkat kompetitif.
Ketika ditemuramah oleh Gazzetta Dello Sport tentang tips beliau untuk mengekalkan prestasi fizikal beliau.
Giggs menjawab:
“Yoga telah banyak membantu saya. Ia membantu saya berlatih setiap hari kerana ia memberi saya fleksibiliti dan kekuatan fizikal dan juga disiplin.”
“Saya jarang terlepas sesi latihan. Walaupun sukar kerana faktor usia tetapi saya tetap cuba mengikuti jadual latihan.”
“Kita harus mengubah cara kita berfikir. Saya pemain yang pantas ketika muda, sekarang saya tidak begitu cepat. Saya perlu menggunakan pengalaman dan kecerdasan ketika di atas padang.”
Bekas rakan sepasukan beliau Gary Neville pernah mendedahkan:
“Ramai pemain akan memikirkan untuk bersara ketika prestasi mereka mulai merudum. Namun Ryan Giggs tidak!”
“Ketika dia beraksi merudum kerana faktor kemerosotan fizikal, dia akan balik ke rumah selepas latihan, merehatkan fizikal dan memikirkan cara untuk kembali dalam pasukan dalam perlawanan yang akan datang.”
“Giggs tidak makan lewat malam dan mengelakkan alkohol untuk memastikan fizikal dia sentiasa dalam keadaan sebaik mungkin.”
Giggs memenangi kesemua kejuaraan utama bersama kelab beliau walaupun gagal melengkapkannya dengan karier antarabangsa.
Jika tidak, sudah pasti Giggs lebih dijulang sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.
Di kabinet trofi Ryan Giggs ada:
EPL (13): 1992-1993, 1993-1994, 1995-1996, 1996-1997, 1998-1999, 1999-2000, 2000-01, 2002-03, 2006-07, 2007-08, 2008-09, 2010-11, 2012-13
Piala FA (4): 1993-1994, 1995-1996, 1998-1999, 2003-04
Piala Liga (3): 1991-92, 2005-06, 2008-09
FA Community Shield (9): 1993, 1994, 1996, 1997, 2003, 2007, 2008, 2010, 2013
UEFA Champions League (2): 1998-99, 2007-08
UEFA Super Cup (1): 1991
Intercontinental Cup (1): 1999
FIFA Club World Cup (1): 2008
Mungkin sukar mencari pemain yang boleh mencapai apa yang telah dicapai Ryan Giggs. Pemain sayap kiri yang laju, kreatif, bervisi tinggi dan bernaluri pembunuh. Lebih penting dia adalah pemain yang setia!
Dengan segala kejayaan yang dikecapi maka tidak hairanlah beliau dipilih sebagai pemain terbaik sepanjang zaman untuk bola sepak Inggeris.
Giggs juga menjadi simbol utama kejayaan Class Of 92 dan revolusi Ferguson di United.
Baca juga : Rekod Penajaan Jersi Yang Paling Lama Di England