Ryan Giggs melemparkan kritikan pedas kepada pengurusan Manchester United yang tidak mengendahkan cadangan beliau untuk mendapatkan Mbappe dan Gabriel Jesus.
Menurut Giggs ketika itu, kedua-dua pemain tersebut berharga sekitar £5 juta. Hari ini, amat mustahil untuk membeli 2 pemain ini dengan harga munasabah.
Mbappe dibeli PSG dengan nilai £160 juta. Giggs percaya 2 pemain itu ketika itu pasti tertarik untuk mahu ke Manchester United. Beliau juga menentang idea penjualan Danny Welbeck dan Jonny Evans.
Giggs memberitahu polisi perpindahan Manchester United ketika itu telah jauh berubah daripada yang dimiliki mereka ketika era Sir Alex Ferguson. Manchester United lebih cenderung untuk mencari pemain muda yang sudah ada nama.
Mereka mendapatkan pemain seperti Memphis Depay dan Angel Di Maria yang dilihat sudah ada nama di pentas antarabangsa tanpa memikirkan kesesuaian pemain tersebut dengan corak permainan Manchester United.
“Saya menyaksikan Gabriel Jesus bermain 3 tahun lalu. Saya juga memantau Mbappe untuk satu tahun. Saya menyaksikan mereka dengan beberapa orang ahli scout. Dan sesuatu yang bodoh untuk tidak mendapatkan mereka.”
“Saya agak geram dan mahu sahaja menjerit, pergi dapatkan mereka!”
“Harga mereka ketika itu sekitar £5 juta. Beli mereka kemudian pinjamkan mereka kembali ke kelab mereka. Pada pandangan saya, bahagian pengambilan pemain harus melakukan kerja dengan lebih baik.”
Giggs juga mendedahkan yang beliau bertikam lidah dengan Van Gaal ketika pengurus tersebut mahu melepaskan Rafael da Silva, Danny Welbeck dam Jonny Evans.
Giggs menyatakan, pemain-pemain tersebut memiliki jiwa Manchester United yang kuat. Dalam jendela perpindahan lalu, Pep Guardiola sendiri berminat mahu mendapatkan Jonny Evans.
Giggs menceritakan yang Manchester United ketika itu dalam keadaan tidak terurus. Segalanya serba tak kena.
Beliau gembira dengan kehadiran Jose Mourinho namun masih berpendapat yang Jose Mourinho bukanlah pengurus yang terbaik untuk Manchester United.
Namun Giggs menerima hakikat perlantikan Mourinho lebih kepada untuk kembali memenangi piala. Cuma Giggs tidak nampak pengurus dari Portugal itu akan mampu meneruskan legasi Manchester United.
Ini selepas Mourinho menjadikan pasukan United lebih kepada pasukan yang defensif dan lebih suka berbelanja besar berbanding dengan membangunkan lebih ramai pemain muda daripada akademi mereka.
“Adakah Jose tipikal pengurus untuk Manchester United? Mungkin tidak. Tetapi Manchester United dalam situasi, berapa cepat kita boleh kembali berada di atas.”
“Saya faham situasi itu. Tetapi saya rasa, saya mampu membawa kesinambungan kepada kelab ini. Saya kenal pemain di sini. Saya tahu apa yang diperlukan untuk bekerja di sini.”
Sebelum ini Giggs pernah meminta untuk menjadi pengganti Van Gaal secara tetap namun United memilih Mourinho. Pengurus Portugal itu kemudian tidak menawarkan Giggs sebarang jawatan dalam pengurusan beliau.
Terbaru, Ryan Giggs dikaitkan dengan Swansea City tetapi beliau berkata, beliau lebih sesuai menguruskan pasukan yang lebih besar.