Gianluigi Buffon bengang dengan tuduhan beberapa pihak yang mengaitkan perpindahan beliau ke PSG kerana wang. Beliau menyatakan dirinya tak akan melacurkan diri demi kepuasan.
Buffon sebelum ini dijangka akan bersara pada musim lalu selepas memberitahu beliau akan meninggalkan Juventus. Namun PSG berjaya memujuk beliau untuk menangguhkan persaraan dan untuk terus bermain. PSG berharap Buffon akan memberikan persaingan dan juga membantu Alphonse Areola.
Yang tidak sedapnya, apabila Buffon mendengar ada pihak menuduh beliau mengejar wang yang bertimbun-timbun ditawarkan oleh kelab yang disokong billionaire Qatar – iaitu PSG.
Buffon berkata: “Dalam dunia ini akan sentiasa ada rasa dengki dalam diri manusia. Paling penting adalah saya tidak mahu terkesan kerana penghakiman dan idea seperti ini.”
“Saya tidak akan sesekali melacurkan kepuasan dan impian saya demi wang. Jika saya mahu melacurkan karier saya, sudah lama saya lakukannya.”
Buffon merujuk kepada – ketika beliau memilih untuk kekal bersama Juventus yang tersingkir ke Serie B. Buffon ketika itu menerima pemotongan gaji mingguan dan menolak tawaran kelab lain yang mahu membayar angka yang beliau terima dan ada yang lebih tinggi daripa jumlah tersebut.
Buffon dan beberapa rakannya kekal di Juventus dan membantu kelab itu naik semula ke Serie A. Dan ia menjadi platform penting kepada kegemilangan Juventus pada era selepas Calciopoli.
Buffon berkata: “Wang itu penting – sebab kita hidup perlu pakai wang. Namun saya bukan seorang yang terlalu ambil hati. Kesungguhan yang ada pada diri saya membuatkan saya muda. Jika saya mahu terus bermain, saya tidak boleh kelihatan seperti seorang datuk.”
“Kadangkala saya lebih gila daripada budak berusia 20 tahun dan orang tak kisah pasal umur saya. Sebenarnya, saya sangat bangga berada di PSG. Menerima tawaran daripada kelab seperti ini memberikan kepuasan.”
“Saya sentiasa memberikan yang terbaik. Saya yakin saya sudah berkelakuan baik dan sebab itu saya dikurniakan pulangan seperti ini.”
Buffon menepis dakwaan kehadiran beliau menhalang pembangunan Areola. Buffon menyatakan beliau dan Areola tiada perseteruan di antara mereka. Sebaliknya mereka berdua bersatu untuk membantu pasukan. Buffon juga memuji kualiti Areola dan bangga dapat membantu penjaga gol itu dengan pengalaman yang ada pada beliau.