Dalam perkongsian gambar aksi perlawanan CIMB Liga Super minggu ke-4, Kedah menentang Selangor di Stadium Darul Aman baru-baru ini di laman sosial Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), dua ‘gesture’ menarik telah berjaya dirakam lensa tersebut.
Rasanya ramai yang perasan dan sedikit sebanyak ‘gesture’ tersebut memberikan petanda yang pemain dan penyokong saling memerlukan antara satu sama lain walaupun Kedah sedang melalui fasa perjalanan awal musim yang kurang baik.
Dalam perkongsian pertama, kelihatan kelibat ‘penyokong’ di tempat duduk penyokong, iaitu satu tifo penyokong berjersi retro Kedah yang disekelilingnya terdapat aura api – menggambarkan semangat membara pemain dan penyokong.
Mungkin juga mahu memberikan signal kepada para pemain yang walaupun stadium diarahkan untuk dikosongkan akibat penularan pandemik CONVID-19, para penyokong tetap ada di belakang pemain – melalui kehadiran tifo tersebut.
Sedikit sebanyak ia memberikan tonik tambahan kepada para para pemain yang mereka tidak bersendirian bermain dan berjuang di padang pada malam tersebut biarpun tanpa suara sorakan ribuan penyokong Hijau Kuning seperti selalu.
Impaknya, Kedah telah menghadiahkan kekalahan pertama kepada Selangor dengan kemenangan selesa 2-0, sekaligus ia merupakan tiga mata pertama skuad Helang Merah untuk saingan musim ini selepas empat perlawanan berlangsung.
Ia satu rekod permulaan yang kurang baik buat Kedah musim ini apabila hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan walaupun memiliki jentera serangan yang boleh dianggap sangat ampuh – gandingan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.
Tekanan besar buat pemain apabila tewas mengejut kepada Terengganu FC di halaman sendiri selepas mendahului perlawanan 3-1, sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan dalam 10 minit terakhir.
Ia bukan sahaja merosakkan moral pemain malah meranapkan terus semangat para pemain apabila suara-suara nakal mula kedengaran mengenai prestasi pengendali, Aidil Sharin dan juga pemain-pemain yang disenaraikan pada musim ini.
Namun, disebalik itu, para pemain memberikan satu ‘gesture’ penghargaan buat para penyokong terutamanya di ruangan tempat duduk Ultras Kedah yang sentiasa tidak berhenti bersorak dalam hampir semua perlawanan yang dilalui mereka.
Rakaman lensa KFA tersebut jika dilihat dari satu sudut, ia mengundang rasa terharu, baik di kalangan Ultras Kedah sendiri, mahupun semua penyokong Kedah untuk kembali menghangatkan suasana stadium pada perlawanan akan datang.
Tahniah buat penyokong dan pemain-pemain yang saling menghargai antara satu sama lain biarpun sedang melalui fasa sukar. Dengan Liga Malaysia sedang berehat, pastinya ramai yang sudah ‘ketaq kaki’, bila lagi kita akan dapat turun ke stadium?
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA