Damian Yeo Akan Terus Kekal Sebagai Presiden MUSA?

Selepas berlaku pertukaran kerajaan di Melaka, Damian Yeo Shen Li mungkin terpaksa melepaskan jawatannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) memandangkan beliau kini merupakan ‘wakil rakyat pembangkang’ di negeri itu.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai kedudukannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu telah membuat pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali di Pejabat Ketua Menteri Melaka pada Selasa.

Hasil perbincangan di antara dua pihak tersebut, beliau telah mencadangkan supaya adanya Presiden baharu yang mengambil alih tampuk kepimpinan MUSA memandangkan pasukan itu jelas memerlukan bantuan dan sokongan dari kerajaan negeri.

“Mesyuarat singkat tadi mesra dan terbuka. Di antara perbincangan adalah hubungan saya dengan Exco dan pekerja MUSA, hutang MUSA dan penolakan 3 mata. Saya juga mencadangkan supaya ada Presiden baru ataupun Ketua Menteri mengambil alih sebagai Presiden,” ujar Damian dalam akaun media sosialnya.

Prestasi Damian dalam tempoh beberapa bulan menerajui kepimpinan MUSA boleh dianggap cemerlang selepas beliau berjaya menyelesaikan masalah yang melanda pasukan seperti isu gaji tertunggak serta masalah kemudahan dan fasiliti pasukan.

Malah visinya yang jelas dan serius mahu membangunkan skuad Hang Tuah menjadi antara pasukan pencabar di Liga Malaysia telah memberi keyakinan kepada beberapa syarikat untuk menaja pasukan itu pada musim ini.

“YAB juga menyatakan bola sepak bukan politik dan kita boleh bekerjasama. Dan YAB Ketua Menteri memberi ruang yang sepenuhnya untuk berbincang dengan saya untuk bolasepak dan kebaikan negeri Melaka.

“Akan ada lebih banyak perbincangan dengan YAB nanti.”

Bagaimanapun prestasi Melaka United pada musim ini masih tidak konsisten sekalipun telah berjaya membawa masuk pemain-pemain berprofil tinggi ke dalam pasukan. Dalam empat perlawanan setakat ini, pasukan itu telah mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan.

Dengan perkembangan semasa ini, masih belum jelas adakah Damian akan terus memegang jawatan tersebut ataupun sebaliknya. 

Kredit Foto: Facebook Damian Yeo

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Damian Yeo dan Melaka United:

Leave a Reply