George Weah, bekas pemenang FIFA World Player of the Year pada tahun 1995 mencipta sejarah selepas berjaya memenangi pilihanraya untuk dilantik sebagai Presiden Liberia yang baru awal pagi ini.
Dengan kemenangan beliau dalam pilihanraya ini, Weah menjadi pemain bola sepak pertama yang menjadi jawatan nombor satu sesebuah negara, selepas bersara.
Weah memenangi undian pilihanraya pusingan kedua untuk diangkat oleh rakyat Liberia bagi menggantikan mantan Presiden, Ellen Johnson Sirleaf, seorang graduan jurusan ekonomi dari Universiti Havard dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2011.
Undian pilihanraya pusingan kedua ini dijalankan selepas Weah, yang turut menang dalam undian pilihanraya pusingan pertama, tidak mencapai minimum undi populariti sebanyak 50%.
Menurut sumber media di Liberia, Weah memperolehi undi populariti sekitar 80% dalam undian pilihanraya pusingan kedua semalam.
Weah yang mewakili Congress for Democratic Change (CDC) menewaskan pesaing beliau, Joseph Boakai, calon berusia 73 tahun dari Unity Party (UP) yang berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Liberia sejak 12 tahun lepas.
Kedua-dua calon presiden ini mempunyai manifesto yang hampir sama; untuk memulihkan ekonomi Liberia yang tenat dan memperbaiki projek infrastruktur. Weah bagaimanapun merupakan calon yang lebih popular, terutamanya kepada golongan muda Liberia.
Antara individu terkenal yang menyatakan sokongan terbuka kepada Weah adalah penyerang Ghana, Asamoah Gyan yang mengagumi ‘kerja kerasnya demi rakyat Liberia’.
My name is Asamoah Gyan and I support George Weah as the next President of Liberia. @GeorgeWeahOff pic.twitter.com/ujfA3GHSMC
— ASAMOAH GYAN (@ASAMOAH_GYAN3) December 26, 2017
Pemain tengah Felda United, Zah Rahan Krangar turut menyatakan sokongannya kepada Weah di laman Instagram beliau.
Sebanyak 2.2 juta rakyat Liberia turun mengundi semalam untuk memilih presiden baru yang bakal bertanggungjawab memulihkan kelembapan ekonomi negara mereka yang dipengaruhi oleh perang saudara (berakhir pada 2003) dan wabak Ebola.
Belum pun keputusan pilihanraya diumumkan, media Afrika melaporkan Weah sudahpun mempunyai ‘pendahuluan yang selesa’ ke atas Boakai. Weah turut telah menulis di Twitter mesej kemenangan yang tersirat kepada penyokong-penyokong yang mengundinya sebelum keputusan rasmi pilihanraya diumumkan.
I am deeply grateful to my family, my friends, and my loyal supporters who contributed to our campaign during this extremely long election season. We are on the verge of making history for our people. #Liberia #Liberia2017 #ChangeforHope
— George Weah (@GeorgeWeahOff) December 26, 2017
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas pengurusnya ketika bermain di AS Monaco, Arsene Wenger yang ‘menunjukkan kasih sayang seperti bapa ketika rasisme bermaharajalela di Eropah’.
5 fakta tentang George Weah
1. Satu-satunya pemain di dunia yang pernah memenangi anugerah pemain terbaik Afrika, Eropah dan Dunia pada musim yang sama. Dalam majlis penganugerahan FIFA World Player of the Year 1995, Weah menyerahkan trofi tersebut kepada Arsene Wenger sebagai simbolik mengenang jasanya.
2. Weah hanya berkesempatan memperolehi diploma sekolah menengah pada tahun 2006 – pada usia 40 tahun dan 3 tahun selepas bersara daripada bola sepak. Mendapat Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti DeVry Florida pada tahun 2011 dan Ijazah Master Pentadbiran Awam di universiti sama pada 2013.
3. Pernah tewas pilihanraya presiden Liberia pada tahun 2005. Punca beliau kalah? Taraf pendidikannya yang rendah membuatkan rakyat Liberia tak yakin dengan beliau.
4. Pernah bekerja sebagai juruteknik untuk menyara hidup ketika masih bermain di liga Liberia. Kemudian beliau berkelana ke Ivory Coast dan Cameroon sebelum mendapat peluang di AS Monaco.
5. Beliau masih aktif bermain bola sepak bersama pasukan Alpha Old Timers FC di liga veteran setiap hari Sabtu.
Baca lebih lanjut tentang George Weah