Nama Gennaro Gattuso bukanlah asing dalam kalangan peminat AC Milan. Beliau mencipta kegemilangan selaku pemain kelab tersebut bermula tahun 1999 hingga 2012.
Rasa cintanya kini terus dicurahkan buat kelab Rossoneri itu apabila menjadi pengurus bagi menggantikan Vincenzo Montella yang dipecat pada penghujung November 2017.
Kehadiran Gattuso pada mulanya tidaklah begitu memberikan kesan yang mendalam buat AC Milan.
Tetapi sejak memasuki tahun 2018, beliau seolah-oleh memberikan tonik yang berguna buat skuad bimbingannya sehingga berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Coppa Italia musim ini.
AC Milan melayakkan diri ke perlawanan akhir piala domestik itu selepas mengenepikan cabaran getir yang diberikan Lazio pada aksi separuh akhir kedua.
Pertembungan yang berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti itu akhirnya berjaya dimenangi AC Milan setelah Gianluigi Donnarumma bertindak cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Lazio.
Alessio Romagnoli menyempurnakan sepakan bagi membawa AC Milan ke pentas akhir.
Walaupun mendapat pujian berikutan prestasi baik AC Milan, bagi Gattuso, disebalik peningkatan prestasi yang ditampilkan anak buahnya ketika ini masih belum melayakkan beliau digelar pengurus yang hebat.
”Saya mahu menjelaskan bahawa saya bukanlah seorang jurulatih (pengurus) yang hebat. Saya masih pada permulaan karier. Saya bukanlah ‘guru’ di bangku simpanan dan saya juga masih belum meraih apa-apa kejayaan ketika ini.”
”Saya tahu bahawa saya telah membawa mereka kadang-kadang menjadi ‘gila’ ketika sesi latihan, tetapi ianya membuahkan hasil dan berbaloi di akhirnya nanti.”
”Ia juga penting bagi saya untuk memberikan kredit kepada Vincenzo Montella kerana dia yang mengenalkan beberapa konsep penting dan anda dapat melihat bagaimana dia berkeinginan untuk mengekalkan penguasaan dan menggerakkan bola dengan kemas.”
Kemenangan yang dicatatkan keatas Lazio itu juga menjadikan rentetan 13 perlawanan tanpa sebarang kekalahan buat AC Milan dalam semua pertandingan yang disertai ketika berada di bawah kendalian Gattuso.