Semalam, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari telah mendedahkan cadangan projek untuk mentransformasikan Stadium Shah Alam kepada Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Pendekatan yang bakal diambil adalah dengan menggunakan nisbah 60-40. Maksudnya di sini, 60% daripada pembangunan kawasan KSSA adalah berkisarkan mengenai stadium.
Ianya akan tertumpu kepada kompleks untuk aktiviti sukan dengan rekaan stadium yang bertaraf antarabangsa.
Rekaan semula KSSA juga akan memastikan stadium itu lebih mudah diakses kepada penyokong dengan ianya akan dijadikan sebagai arena yang akan mampu menyelesaikan masalah trafik serta banjir.
Sementara baki 40% lagi adalah tertumpu kepada penggunaan untuk rekreasi bagi orang awam serta pembangunan belia.
Pusat rekreasi serta taman awam turut akan dibina untuk melengkapkan pembangunan KSSA ini.
Pembinaan semula untuk stadium ini pada mulanya ditentang oleh sesetengah pihak kerana berasakan ianya akan ‘membunuh’ legasi gelanggang kedua terbesar di Malaysia itu.
Namun begitu, ianya sebenarnya adalah permulaan baharu kepada legasi Stadium Shah Alam (SSA) yang mula dibuka sejak 1994.
Penyambung legasi gemilang
Stadium baharu untuk Selangor dicadangkan untuk dibina pada kapasiti maksima 45 ribu penonton sahaja.
Ini bertujuan supaya kos selenggara stadium dapat dijimatkan sambil kapasiti tersebut lebih bersesuaian untuk dengan suhu kehadiran penyokong bola sepak di negara ini yang tidak menentu.
Walaupun perubahan jumlah kapasiti penonton akan berubah melebihi 50% daripada jumlah asal SSA iaitu 80 ribu tempat duduk, ianya tidak akan mengubah legasi gemilang gelanggang itu.
Sebaliknya, ia akan menyambung legasi stadium tersebut yang sering menjadi tumpuan bola sepak Malaysia tidak kira ketika perlawanan akhir piala domestik atau ketika Harimau Malaya beraksi.
SSA sejak dibuka pada 1994 menjadi saksi kepada pelbagai detik suka dan duka bola sepak negara tidak kira ianya melibatkan Selangor atau pun Malaysia.
Kapasiti stadium mungkin berkurangan, tetapi rekaan semula stadium yang bertaraf antarabangsa akan memastikan gelanggang baharu Selangor ini bukanlah bersifat downgrade, sebaliknya adalah upgrade kepada mereka.
Masa depan yang mengujakan untuk Selangor
Untuk kembali semula ke Shah Alam, ianya pasti akan mengujakan buat Selangor yang setelah sekian lama terpaksa berpindah randah dari satu stadium ke stadium di Lembah Klang.
Wajah baharu SSA ini akan terus mengangkat reputasi stadium itu yang sebelum ini turut dikenang sebagai antara gelanggang bola sepak terbesar di dunia selain Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini boleh dijadikan sebagai permulaan baharu buat Selangor dalam kembali mendapatkan semula takhta mereka sebagai jaguh bola sepak Malaysia.
Ianya mungkin mengambil masa, namun jika dilakukan dengan betul ianya pasti akan membuahkan hasil.