Bekas kapten England, Wayne Rooney mengakui bahawa gaya hidup di Washington menjadi faktor utama beliau memilih untuk berhijrah ke DC United.
Rooney menyertai kelab yang kini menduduki tangga terbawah Eastern Conference dalam saingan Major League Soccer (MLS) itu dengan mengikat kontrak selama tiga tahun setengah.
”Keseluruhannya pasukan ini adalah kumpulan pemain, pengurus dan pemilik yang menggembirakan saya.”
”Saya datang ke sini beberapa minggu yang lalu dan saya meninjau sekitar bandar ini. Ia sangat bagus untuk saya tinggal disini.”
”Terdapat bandar-bandar lain yang lebih sibuk dari segi gaya hidup, seperti Los Angeles dan New York, yang saya percaya tidak sesuai dengan saya. Saya merasakan ini adalah tempat tinggal yang sesuai buat saya.”
Dalam pada itu, Rooney turut memuji potensi para pemain muda yang dimiliki DC United walaupun kelab tersebut kini sekadar mencatatkan dua kemenangan daripada 12 perlawanan.
”Mereka dalam kedudukan yang sukar berada di tempat terbawah liga tetapi saya menyaksikan perlawanan mereka beberapa minggu yang lalu dan melihat banyak potensi dalam pasukan.”
”Para pemain muda mempunyai banyak bakat tetapi mungkin mereka memerlukan sedikit bimbingan di dalam padang, yang mana saya percaya saya boleh mencuba dan membantu mereka.”
”Saya juga percaya dengan kualiti saya sendiri boleh membantu pasukan.”
Kredit foto: india.com