Anda pasti pernah mendengar nama Hachim Mastour bukan? Pemain muda berbakat besar. Beliau juga popular kerana kerap memuat naik video menunjukkan skil beliau.
Namun yang merisaukan Gattuso adalah, Hachim Mastour lebih popular dengan kerjaya merakam video berbanding di atas padang. Gattuso meletakkan harapan yang tinggi untuk pemain ini.
Beliau masih gagal membuat sebarang penampilan dengan AC Milan dalam Serie A. Sebelum ini beliau juga gagal untuk memecah masuk ke dalam pasukan utama Malaga dan PEC Zwolle.
Jika anda melihat video yang dimuat naik beliau, anda akan berpendapat pemain ini adalah pemain bintang yang memiliki masa depan sangat cerah.
Musim ini beliau bermain untuk Milan Primavera. Gattuso kemudian membawa beliau ke dalam pasukan utama sebaik sahaja menggantikan Montella.
Gattuso menyatakan beliau sudah bertemu dan berbincang dengan Mastour. Gattuso memberi amaran agar Hachim Mastour tidak lagi memuat naik video skil beliau dan fokus kepada usaha memecah masuk ke dalam pasukan utama.
“Kami ada bercakap tentangnya baru-baru ini. Dan saya akui ada ugut dia kerana dia lebih popular kerana kemampuan memuat naik video berbanding dengan menjadi pemain bola sepak.”
“Sekarang dia dah tak buat sebab saya nak dia hentikan. Jika dia muat naik lagi video seperti itu, saya dah beritahu dia yang saya akan bagi penumbuk dekat gigi dia sehingga patah.”
“Selepas pertemuan itu segalanya nampak baik. Dia menunjukkan peningkatan di dalam latihan dan kami memutuskan supaya dia bermain di Primavera bagi mendapatkan minit perlawanan.”
“Keretapi dah berlalu dan dia tak sempat naik (merujuk kepada peluang bermain pasukan utama musim ini. Musim nak berakhir). Namun jangan risau, dia bukannya 50 tahun, dia baru 20 tahun pada Jun nanti.”
“Saya rasa dia harus memperbaiki segala kesilapannya. Dia perlu bermain secara konsisten sebab sebelum ini kami melihat dia ada kehilangan sentuhan tajam.”
“Namun selepas pertemuan itu, ada banyak peningkatan ditunjukkan beliau.”