Beberapa bulan lalu Gennaro Gattuso dilaporkan mahu memulangkan Bakayoko lebih awal dan tidak mahu membazir wang untuk menebus kontrak tetap pemain itu. Ini selepas pemain itu gagal meyakinkan pengurus Rossoneri, Gennaro Gattuso.
Bakayoko pemain tonggak utama pasukan juara Ligue 1 2016/17 – AS Monaco. Itulah yang membuatkan Chelsea sanggup membayar £40 juta untuk Bakayoko dan menjual Matic ke Manchester United.
Namun selepas itu, karier beliau menjadi sukar di Chelsea. Beliau gagal memberikan aksi terbaik di atas padang. Beliau kerapkali dikritik terutama sekali peminat Chelsea yang tak berpuas hati dengan aksi beliau.
Dengan Chelsea melantik Sarri sebagai pengurus baharu, agak sukar untuk Bakayoko meyakinkan pengurus itu yang sudah membawa Jorginho. Chelsea meminjamkan Bakayoko untuk tempoh semusim ke San Siro. Namun selepas itu, pada Oktober lalu – AC Milan memberikan isyarat mahu memulangkan Bakayoko lebih awal.
Ini kerana Gattuso merasakan pemain tersebut tak dapat memberikan yang terbaik kepada tuntutan taktikal beliau dan mengambil masa yang terlalu lama untuk mengadaptasi bola sepak di Itali.
Gatusso berterus terang menyatakan pemain tersebut bergelut untuk menepati kehendak taktikal beliau. Ketika itu beliau hanya bermain 80 minit dalam Serie A untuk AC Milan.
Gattuso ketika itu tak nampak ada tanda-tanda pemain itu akan dapat merampas tempat dalam kesebelasan utama. Dilaporkan AC Milan mahu pulangkan Bakayoko pada Januari akan datang. Berdasarkan sumber Corriele Dello Sport, Gattuso berkata:
“Bakayoko harus belajar cara mendapatkan bola. Beliau perlu bekerja dengan betul. Ianya tak mudah. 1 minggu tak cukup untuk mengeluarkan pemain yang rosak. Saya lebih suka untuk mengendalikan pemain yang lebih matang dan berpengalaman.”
#ACMilan Coach Gennaro Gattuso has advice for Tiemoue Bakayoko: "He has to learn how to receive the ball, which means improving his positioning and posture" https://t.co/QqjTWvI9k4 #CFC #SerieA pic.twitter.com/VriVsQT8oP
— Football Italia (@footballitalia) August 25, 2018
Namun begitu, Gattuso semalam menyatakan bahawa beliau baru nampak kualiti sebenar Bakayoko dalam beberapa minggu terakhir ini. Gattuso kagum dengan perkembangan Bakayoko terutama sekali selepas aksi cemerlang pemain itu dalam kemenangan 2-1 AC Milan ke atas Parma.
Tamat perlawanan itu, Milan TV bertanya tentang penilaian Gattuso ke atas Bakayoko. Pengendali dari Itali itu berkata:”Bakayoko? – Bakayoko adalah kejutan terbesar dalam beberapa minggu ini. Beliau menunjukkan peningkatan dari segi taktikal.”
“Kita semua tahu beliau ada keupayaan fizikal yang kuat. Saya gembira beliau mendengarnya [kritikan dan nasihat Gattuso sebelum ini]. Beliau kini sudah berubah.”
“Anda lihat sendiri Bakayoko [dalam perlawanan menentang Parma], beliau menutup ruang di antara 2 garisan dengan baik, memberikan lebih impak dan melakukan hantaran kunci ke atas.”
“Ini adalah aspek yang kita hilang daripada beliau sebelum ini. Hari ini beliau banyak melakukan sentuhan bola tak lebih daripada 2 kali, itu adalah petanda yang sangat positif.”
Jika berterusan menunjukkan peningkatan serta memulihkan prestasi beliau, Bakayoko mungkin akan dapat kontrak tetap di AC Milan dengan nilai tebus harga adalah €35 juta.