Bekas pemain Manchester United yang kini merupakan pundit di Sky Sports, Gary Neville merasakan aksi disajikan Liverpool berada pada tahap mampu membawa mereka menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Meskipun masih terlalu awal untuk diperkatakan tetapi kenyataan Neville itu ada asasnya kerana Liverpool menjadi satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas mengharungi empat perlawanan.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu berjaya menumpaskan Norwich City, Southampton, Arsenal dan Burnley, yang sekaligus meletakkan The Reds kini ditangga teratas saingan dengan 12 mata, dua mata dihadapan juara bertahan, Manchester City.
”Saya menyaksikan perlawanan Liverpool di Burnley [Turf Moor] dan saya dapat merasakannya.”
”Saya telah mengatakan pada musim lalu bahawa mereka [Liverpool] merupakan sebuah pasukan bagi merebut kejuaraan. Mereka bermain pada tahap mampu untuk memenangi kejuaraan.”
”Anda saksikan mereka di Burnley dan mereka tidak beraksi dengan baik pada 20 minit pertama tetapi mereka mendapatkan gol pertama dan kemudiannya jaringan kedua.”
”Anda bercakap mengenai elemen klinikal sesebuah pasukan. Mereka adalah pasukan yang memenangi gelaran dan mereka melakukannya pada musim lalu, pada dasarnya dengan apa yang telah mereka lakukan.”
Sebaik sahaja tugasan skuad antarabangsa tamat, Liverpool akan menanti kunjungan Newcastle United di Anfield pada 14 September nanti.
Kredit foto: Liverpool FC