Quantcast

LIGA MALAYSIA

Presiden FAM Mahu KLFA Selesaikan Kemelut Dalaman Persatuan

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin menggesa Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) supaya dapat menyelesaikan kemelut dalaman yang sedang dihadapi persatuan tersebut.

Perkara tersebut menjadi antara topik utama perbincangan selepas Dato’ Haji Hamidin menerima kunjungan KLFA yang diketuai presiden, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan di Wisma FAM, petang tadi.

“FAM tidak boleh berat sebelah dan memihak kepada mana-mana kem, sebaliknya FAM bertindak mengikut semangat yang ada berpandukan kepada Statut FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” jelas kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi FAM.

“Kita harus terima hakikat walaupun KLFA berpayung sebagai ahli gabungan di bawah FAM, urus tadbir KLFA tertakluk kepada peraturan Pesuruhjaya Sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan.”

“FAM berhak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli gabungan jika didapati ada kesalahan dari sudut perkauman, agama dan politik manakala Pesuruhjaya Sukan ada hak untuk membatalkan pendaftaran seandainya persatuan atau kelab menyalahi peraturan dalam akta.”

“FAM berharap KLFA dapat menjelaskan kedudukan sebenar kepada ahli gabungan,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Kemelut dalaman KLFA yang semakin berpanjangan ini bermula sejak November tahun lalu dan lebih mengeruhkan keadaan apabila persatuan tersebut menggugurkan keahlian sembilan ahli gabungan mereka.

Kredit foto: FAM