Personaliti BBC dan legenda England, Gary Lineker telah dipilih sebagai juruacara untuk undian Piala Dunia 2018. Undian kumpulan bagi Piala Dunia 2018 akan diadakan pada 1 Disember ini. Kremlin Palace di Moscow bakal menjadi venue undian tersebut.
Gary Lineker juga akan dibantu oleh Maria Komandaya, wartawan dari negara penganjur. Selain itu, 8 pemain terkemuka yang pernah beraksi di Piala Dunia akan mengendalikan undian pada hari tersebut.
Majlis ini juga diserikan lagi dengan kehadiran Diego Maradona yang merupakan seteru kepada Lineker pada suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico yang menyaksikan Maradona menggemparkan dunia dengan jaringan ‘Hand Of God’. Jaringan yang sekaligus menyingkirkan England dari persaingan.
Cafu masuk senarai
FIFA secara rasminya telah mengumumkan 8 barisan pemain terkemuka itu dalam laman web mereka lewat hari ini. Nikita Simonyan, bekas pemain Soviet Union semasa Piala Dunia 1958 merupakan salah seorang pemain tersebut.
Selain itu, Laurent Blanc (Perancis), Gordon Banks (England) dan Cafu (Brazil) juga telah diberi penghormatan untuk mengendalikan undian ini. Begitu juga dengan Fabio Cannavaro (Itali).
Pemain ulung dari Argentina, Diego Maradona juga disertakan dalam senarai tersebut. Uruguay boleh berbangga dengan Diego Forlan yang turut terpilih. Carlos Puyol dari Sepanyol juga diberi peluang untuk menguruskan undian pada kali ini.
Bangga
Cafu amat berbangga kerana dapat mengendalikan proses yang penuh debaran ini. Tambahnya pula, ia dianggap satu suasana yang penuh dengan keterujaan.
Laurent Blanc pula menyifatkan pemilihan beliau itu sebagai satu langkah merapatkan dirinya dengan keterujaan dalam kejohanan ini. Laurent merupakan salah satu ahli pasukan Perancis yang menggondol Piala Dunia pada 1998.
Meskipun begitu, tumpuan bakal terarah kepada juara bertahan, Jerman. Pasukan manakah yang bakal dipertemukan mereka. Selain itu, juara 5 kali, Brazil juga diberi fokus pada kejohanan kali ini.
Sementara itu penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Miroslav Klose diberikan penghormatan untuk membawa trofi Piala Dunia ke atas pentas pada majlis tersebut.