Pemain kebangsaan Wales, Gareth Bale telah melengkapkan perpindahannya dari Real Madrid ke Los Angeles FC (LAFC) untuk beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Kontrak yang ditandatangani beliau hanya berkekalan selama setahun sahaja dengan apabila memasuki separuh masa kedua tempohnya di LAFC, beliau sudah boleh berunding dengan kelab lain.
Welcome to Los Angeles, @GarethBale11. 🏴#LAFC pic.twitter.com/K9UaJ9fU87
— LAFC (@LAFC) June 27, 2022
Menurut Sky Sports, perpindahan Bale ke LAFC adalah berakar umbi dengan persiapan pemain itu untuk menghadapi Piala Dunia 2022 yang akan dilangsungkan di Qatar pada akhir tahun ini.
Dengan kalendar bola sepak Amerika Syarikat yang akan berakhir pada 5 November seandainya LAFC layak ke perlawanan akhir MLS Cup, ianya memberikan masa yang cukup ideal untuk Bale mendapatkan kecergasannya sebelum bersatu dengan pasukan kebangsaan Wales.
“Ini adalah tempat yang tepat untuk saya dan keluarga saya dan masa yang tepat dalam karier saya dan saya tak sabar nak tunggu untuk mula bekerja dengan pasukan dan memenangi lebih banyak trofi di Los Angeles,” ujar Bale.
Inter Miami yang untung
Walaupun LAFC berjaya mendapatkan pemain yang cukup handal seperti Bale, namun dari segi kewangan ianya lebih memihak seteru mereka iaitu Inter Miami.
Dalam perpindahan Bale ke LAFC, Inter Miami turut mendapat peratusan daripada hasil perpindahan tersebut.
https://twitter.com/AfiqShari/status/1541578865499607040
Tetapi kenapa semua ini terjadi?
Semua ini berlaku disebabkan Bale sebenarnya termasuk di dalam senarai Discovery List milik David Beckham yang merupakan pemilik Inter Miami. Perkara ini sekali gus membuatkan Beckham mempunyai hak milik ke atas Bale.
Dalam saingan MLS, Discovery List merupakan salah satu peraturan yang membenarkan sesebuah pasukan untuk meneroka mana-mana pemain dan memasukkan nama mereka di dalam senarai tersebut sebagai tanda yang kelab itu telah menjumpai mereka dahulu.
Kalau ikut bahasa mudah, sesebuah kelab itu telah ‘cop’ pemain itu dahulu apabila mereka jumpa. Walaupun sudah ‘cop’ mereka tidak semestinya mendapatkan pemain tersebut untuk beraksi bersama-sama pasukan.
Menurut AS, pemain yang dimasukkan dalam senarai Discovery List ini dikenali sebagai Discovery Player dan satu-satu pasukan dibenarkan untuk mendaftar sehingga tujuh nama untuk senarai ini.
Senarai itu bagaimana pun boleh diubah-ubah dengan nama satu-satu pemain boleh ditambah atau disingkirkan oleh kelab pada bila-bila masa.
Oleh itu, dengan adanya nama Bale dalam Discovery List Inter Miami, maka LAFC perlu membayar sejumlah wang kepada mereka sebelum pemain itu melakukan penampilan pertama.
Dalam situasi dua kelab ini, LAFC perlu membayar Inter Miami sebanyak $50 ribu.
Amalan ini adalah sesuatu yang agak asing dalam bola sepak, dan mungkin hanya diamalkan di Amerika Syarikat sahaja.
Ianya seolah-olah peraturan yang memberikan pampasan kepada sesebuah pasukan yang sudah ‘cop’ satu-satu pemain namun ada kelab yang ‘sailang’ mereka.’
Walaupun jumlah $50 ribu itu tidak banyak, tetapi Inter Miami dapat duit percuma dari perpindahan ini!