Pasukan Dah Beraksi Di Kejohanan Asia, Tapi Ke Mana Penyokong KL City Menghilang?

KL City Piala AFC

Meskipun Kuala Lumpur City berjaya mencipta kejayaan gemilang layak beraksi di kejohanan Piala AFC, ia nampaknya masih belum cukup untuk menarik penyokong mereka untuk beramai-ramai hadir menonton perlawanan di stadium.

Ini merupakan situasi yang agak menyedihkan buat pasukan yang menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu sedangkan mereka sepatutnya memanfaatkan peluang dipilih sebagai tuan rumah untuk aksi peringkat kumpulan H bagi zon Asia Tenggara.

Dalam aksi pertama pada minggu lalu, skuad ibu kota itu terikat tanpa jaringan dengan kelab Indonesia, PSM Makassar yang menyaksikan hanya kira-kira 1,000 orang penyokong sahaja yang hadir memberi sokongan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dengan kapasiti sebanyak 18,000 tempat duduk, keadaan stadium begitu lengang dan tentunya pasukan lawan juga kehairanan ke mana perginya penyokong pasukan tuan rumah.

Maka timbul persoalan, KL City ini sebenarnya mempunyai penyokong atau tidak? Ke manakah penyokong mereka yang dilihat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam bersejarah menjulang kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-100 pada penghujung tahun lalu?

Skuad kendalian Bojan Hodak berdepan misi wajib menang menjelang aksi terakhir kumpulan berdepan kelab dari Singapura Tampines Rovers pada Khamis ini dalam misi untuk layak ke pusingan seterusnya.

Pastinya para pemain KL City mengharapkan sokongan padu dari penyokong sebagai lonjakan motivasi buat mereka.

Leave a Reply