Pemain yang begitu sukakan golf, Gareth Bale terpaksa mencari hiburan lain apabila di Qatar 2022 selepas sukan yang dianggap ‘permainan orang kaya’ itu diharamkan di negara tersebut.
Ianya bukanlah diharamkan secara menyeluruh di Qatar tetapi sebenarnya untuk kem Wales sahaja sepanjang keberadaan mereka di sana.
Menurut laporan Daily Mail, pengendali Wales, Rob Page telah mengenakan peraturan yang para pemainnya khususnya Bale tidak dibenarkan untuk bermain golf di kem mereka.
Tujuannya adalah Page mahukan fokus yang tidak berbelah bahagi daripada skuad Walesnya ketika berada di dunia dengan pengurus itu mengatakan yang skuadnya ke Qatar adalah untuk “buat kerja”.
Menyedari tugas berat menanti Page di Qatar selepas berjaya membawa Wales ke Piala Dunia buat pertama kali selepas 64 tahun, semestinya beliau mahu para pemainnya fokus dan tidak leka dengan perkara lain selain bola sepak.
“Tak akan ada sesi bermain golf kali ini. Kita ke sana [Qatar] untuk buat kerja,
“Lazimnya, pemain-pemain seperti Gareth Bale, Aaron Ramsey dan Kieffer Moore akan datang kepada saya dan tanya sama ada keesokan hari pasukan akan ada aktiviti hendak dilakukan atau tidak,
“Lazimnya kalau tak ada, saya akan benarkan mereka bermain golf,” kata Page.
Qatar 2022: Skuad Muda Ecuador Mahu Ulangi Rekod Piala Dunia 2006
Buat bersebab
Keputusan yang diambil oleh Page mungkin tidak akan disenangi oleh Bale, Ramsey dan Moore kerana ianya akan menyekat peluang untuk mereka berhibur di Qatar.
Namun keputusan yang diambil itu pastinya bersebab kerana Wales berada dalam kumpulan sukar pada kali ini.
Wales diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Iran, Amerika Syarikat dan juga England.
Dengan perlawanan Battle of Britain menentang England pada perlawanan terakhir kumpulan, ianya pasti akan menjadi penentu buat Wales sama ada mereka akan layak ke pusingan seterusnya atau tidak.