Cristiano Ronaldo akhirnya kembali beraksi untuk Real Madrid selepas kali terakhir beraksi ketika perlawanan akhir Piala Eropah 2016 yang lalu.
Dalam perlawanan menentang Osasuna dalam aksi La Liga pada Sabtu lepas, Ronaldo membantu Real Madrid menang 5-2.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Ronaldo yang hanya memerlukan 6 minit untuk menjaringkan gol pertama beliau pada musim ini.
Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane nyata sangat gembira dengan kepulangan Ronaldo. Apatah lagi selepas beberapa pemain agak keletihan perlu digilirkan lantaran tugasan antarabangsa.
Namun di sebalik kegembiraan Ronaldo meraikan kemenangan besar tersebut, beliau tetap memberikan respon ‘panas’ ke atas kenyataan bekas pemain Barcelona, Xavi Hernandez.
Xavi undang kemarahan Ronaldo
Awal minggu lepas ketika bercakap dalam temuramah radio Sepanyol, Cadena Ser, Xavi mengeluarkan kenyataan berikut:
“Hanya pemain bola sepak yang bodoh sahaja tidak mengiktiraf Cristiano sebagai pemain bola sepak elit. Tetapi malangnya beliau bermain dalam era yang sama dengan Leo (Messi).”
Xavi turut mengundang kemarahan Ronaldo (yang nampak gayanya mendengar temuramah radio tersebut) dengan membanding-bandingkan bintang Real Madrid tersebut dengan Lionel Messi.
“Ronaldo adalah luar biasa. Tetapi jika dibandingkan dengan Messi, bagi saya dan untuk semua orang yang sukakan bola sepak, ia tiada perbandingan.”
“Messi sentiasa menjadi nombor satu sehingga berhenti bermain. Dia terlalu unggul. Di mata ramai pihak, dia adalah yang terbaik di dunia. Kecuali anda adalah Real Madrid.”
Ronaldo panas
Cristiano Ronaldo yang nyata tidak menyenangi kenyataan Xavi itu lantas memberikan respon panas di akhbar Marca. Beliau berkata:
“Saya adalah pemain bola sepak yang paling dicari di internet.”
“Jadi sesiapa sahaja yang mahukan publisiti percuma atau perhatian media (merujuk Xavi) akan membincangkan tentang saya.”
Ronaldo turut menyambung letusan kemarahannya dengan mengutuk Xavi.
“Saya tidak kisah apa yang Xavi cakap tentang saya. Dia bermain di Qatar atau.. (muka keliru). Saya tak tahu di mana dia bermain sekarang.”
Tak cukup dengan itu, Ronaldo turut menempelak kegagalan Xavi memenangi Ballon d’Or.
“Dia memenangi setiap trofi kolektif, termasuk Piala Dunia dan Kejohanan Eropah. Tetapi saya ada 3 Ballon d’or dan dia tidak pernah memenangi langsung.”
Baca juga: Barton Kutuk Brown Tak Setarafnya, Brown Balas ‘Lawan Rangers Seperti Lawan Budak-Budak’