Game 39: Idea Perlawanan Liga di Luar England Pernah Dikritik Hebat

Tempoh hari, masyarakat dunia didedahkan dengan hasrat La Liga untuk mengadakan perlawanan liga di luar Sepanyol. Perlawanan liga itu dikhabarkan diadakan di bandar raya terpilih di sekitar Amerika Syarikat.

Paling sahih, tiada perlawanan El Clasico akan dimasukkan dalam kalendar khas tersebut.

Menariknya, sambutan hambar telah diterima oleh para pemain dan ia telah dilontarkan melalui Persatuan Pemain Profesional Sepanyol (AFE). Pemain La Liga dilaporkan bersedia untuk mogok sekiranya cadangan itu direalisasikan.

Imbasan

Anda pernah terdengar terma ‘Game 39’? Mungkin ingat-ingat lupa. Istilah ini mula didengari masyarakat umum pada 2008, kira-kira 10 tahun lepas.

‘Game 39’ merupakan perlawanan tambahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Perlawanan ini akan diadakan di kota raya tersohor di dunia.

Sebagai contoh, perlawanan antara Manchester City menentang Fulham akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kemudiannya perlawanan antara West Ham United menentang Leicester City diadakan di Kaherah, Mesir.

Tetapi, perlawanan ini akan diadakan setelah tamat kesemua 38 perlawanan asal yang dianjurkan sahaja. Ia seumpama perlawanan pertunjukan bagi meningkatkan populariti Liga Inggeris.

Kritikan keras

Semasa idea ini dihebahkan umum, ia telah menerima reaksi yang bercampur. Ada yang menyuarakan tentangan, ada yang menyatakan sokongan.

Sir Alex Ferguson dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan ini. Malah, beliau memberitahu bahawa para pengurus pada ketika itu langsung tidak dibawa berbincang untuk idea ini.

Pengerusi Wigan Athletic, Dave Whelan terbuka menentang idea sebegini. Selain itu, FIFA dan UEFA mengkritik keras idea tersebut.

Sasaran terbabas

Australia, antara negara yang disebut-sebut untuk menjadi tuan rumah Game 39 telah memaklumkan mereka tidak bersetuju dengan idea ini. Liga domestik mereka A-League pada ketika itu baru sahaja bertatih untuk menarik peminat.

Akibat serangan bertalu-talu daripada pelbagai pihak, Liga Perdana mengambil keputusan untuk merehatkan semula proposal ini.

Idea ini muncul semula pada 2017 dan Manchester City telah dilaporkan sebagai kelab yang menyokong idea ini. Tetapi, Richard Scudamore, pegawai Liga Perdana Inggers jelas menyatakan ia tidak realistik.

Ia bukan sahaja tidak realistik daripada sudut logistik tetapi daripada sudut politik (dan perundangan). Walhal, Richard sendiri pada 10 tahun lalu dilihat menjuarai isu ini dengan memberikan cadangan ini.

Tekanan

Perlu diakui bola sepak perlu dievolusikan tetapi perlu mengekalkan tradisi yang ada. Bukan boleh diubah sesuka hati demi kekayaan dan kemasyhuran.

Bola sepak bukan seperti sukan lain yang boleh menerima dengan mudah sesebuah perubahan.

Jika idea sebegini di Sepanyol akan ditolak, tidak hairan jika ia muncul lagi pada 10 tahun akan datang. Cuma adakah di Jerman atau Itali?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN