Nampaknya belum berakhir drama tunggakan gaji pemain-pemain Melaka United musim lalu dan sepertinya ia akan memasuki fasa baharu pula.
Berdasarkan perkongsian pemain yang dipinjamkan ke Penang FC, Faizal Talib, sebahagian gajinya yang dibayar Harimau Kumbang masih tidak dilunaskan kepadanya, walaupun dikatakan ia akan diberikan kepadanya.
Memetik perkongsiannya di media sosial, beliau masih menanti janji pihak pengurusan Melaka United yang segalanya akan dilunaskan kepadanya.
“Tanya pasal gaji terus kena ‘block’. Ehh ape kelakau ni, saya salah tanya ke? Bukan tanya gaji Melaka pun, saya tahu tengah ade masalah, saya faham. Saya cuma nak gaji ‘loan’ saya, tu je. Janji nak kasi tapi sampai sekarang satu ape pun takde. Macam-mana kena bayar.”
“Awak sendiri janji nak kasi lepas balik Malaysia, tengok-tengok terus senyap. Elok je saya dengan awak, hormat ape semua, tapi awak buat macam ni.”
Melaka has loaned speedy winger Faizal Talib to Penang for the remainder of the season. It is learnt that coach Zainal is eyeing several other local players in Melaka. #MSL2022 #MFLTransfer2022 pic.twitter.com/FGhIejVGBV
— T. Avineshwaran (@avineshW90) June 20, 2022
Tidak dapat dipastikan kepada siapa beliau tujukan perkongsiannya itu, namun mungkin individu yang terlibat dalam pengurusan Melaka United.
Faizal telah dipinjamkan ke Penang pada Jun dan telah berakhir pada November lalu. Mungkin terdapat klausa di dalam kontrak pinjamannya, sebahagian gajinya akan dibayar oleh pasukan yang telah meminjamnya.
Begitupun, nampaknya, bukan sahaja gajinya bersama skuad Hang Tuah yang tertunggak, kini, gaji yang dibayar oleh Penang juga tidak sampai kepadanya. Menurut bekas pemain Melaka United, Razman Roslan, yang dilihat turut berkongsi masalah pemain itu di media sosialnya, Penang telah memasukkan bayaran gaji Faizal terus ke akaun Melaka United.
“Dengan harapan Melaka United bayar la ke ‘player’ ni. Tapi rupanya tidak. Ingatkan tak bayar gaji je, rupanya duit orang pun sapu jugak,” titip Razman.
Kemelut ini nampaknya memasuki fasa baharu selepas pendedahan tunggakan lima bulan gaji oleh beberapa pemain di media sosial mereka.
Beberapa pemain dilihat telah memuat naik posting di Instagram masing-masing dengan merayu campur tangan dan bantuan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Antara pemain yang dilihat berbuat demikian adalah Wan Zaharulnizam Zakaria, Syukri Baharun, Hasbulah Abu Bakar dan beberapa pemain lain.
Dua individu disebut mereka iaitu pemilik pasukan, Datuk Seri Justin Lim dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Mungkin, individu ini jugalah yang disebut oleh Faizal.
Selain itu, tiada lagi kelibat pasukan ini untuk saingan musim 2023 apabila penyertaan merekadibatalkan selepas gagal mendapat Lesen Kebangsaan.