Gergasi bola sepak dunia, Argentina dan tiga lagi negara iaitu Uruguay, Paraguay dan Chile telah menjalinkan kerjasama untuk menjadi tuan rumah bagi saingan Piala Dunia 2030.
Pengumuman ini dibuat bagi membentuk potensi membawa semula kejohanan Piala Dunia ke bumi Amerika Selatan selepas kali terakhir diadakan di sana pada 2014 sewaktu Brazil menjadi tuan rumah.
Bidaan ini juga dilihat signifikan kerana ingin meraikan sambutan 100 tahun penganjuran Piala Dunia yang pertama kali diadakan di Uruguay pada 1930.
Dengan penyertaan Uruguay menjadikan bidaan ini lebih signifikan untuk memenangi hak tersebut.
#Juntos2030 Se lanzó la candidatura conjunta entre Argentina, Uruguay, Paraguay y Chile para organizar la Copa del Mundo de 2030 🏆⚽️
📝https://t.co/1vm0IhzY8w pic.twitter.com/kbVtBCmczy
— AFA (@afa) February 7, 2023
“Kami berimpikan untuk menjadi tuan rumah kepada piala ini lagi pada sambutan 100 tahunnya. Semua warga Amerika Selatan ada semangat yang membara dan begitulah cara kami hidupkan bola sepak.
“Kami sedar yang ini adalah satu komitmen yang amat besar yang perlu kami tonjolkan kepada dunia yang Argentina, Uruguay, Paraguay dan Chile benar-benar mahu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030,” kata Presiden FA Argentina, Claudio Tapia.
Bagi Seketeriat Sukan Negara Uruguay, Sebastian Bauza, beliau berharap FIFA akan menerima cadangan untuk kembali ke tempat lahirnya Piala Dunia.
“FIFA seharusnya kembali dan meraikan Piala Dunia di tempat ia dilahirkan iaitu Piala Dunia 2030.
“Kami seharusnya bertanggungjawab kepada Piala Dunia yang kami anjurkan iaitu untuk meraikan penganjuran Piala Dunia yang pertama dalam sejarah,” katanya menerusi laman rasmi AFA.
Piala Dunia yang pertama diadakan pada 1930 di Uruguay dengan mereka dinobatkan sebagai juara pertama kejohanan bola sepak terulung tersebut.
Uruguay ketika itu menewaskan Argentina dengan jaringan 4-2 untuk memperoleh kejuaraan dunia pertama mereka sebelum melakukannya sekali lagi pada 1950.