Bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Guerra kembali menyertai pasukan PKNS FC apabila diumumkan sebagai pemain import baharu skuad semut merah sebentar tadi.
Guerra sebenarnya bukan watak yang asing bagi skuad kendalian Datuk Rajagobal tersebut kerana karier professional penyerang berusia yang 25 tahun ini dalam Liga Malaysia bermula bersama PKNS FC.
Pada ketika itu, beliau didatangkan ke PKNS FC secara pinjaman melalui kelab Superliga Argentina de Fútbol, Boca Juniors.
Pemain yang selesa dengan panggilan Gabby ini mula membina nama di Malaysia apabila menyertai PKNS pada musim 2015 dengan membantu kelab itu layak ke Liga Super 2017 selepas muncul naib juara Liga Premier pada tahun 2016.
Karier pemain tersebut di Liga Malaysia kemudiannya diteruskan bersama JDT, sebelum digugurkan oleh kelab bola sepak dari selatan tanah air itu pada penghujung musim lalu. Bersama JDT, Guerra telah menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun 2017.
Chan Vathanaka turut kembali ke Liga Malaysia tetapi dengan pasukan lain
Turut diumumkan sebagai pemain import baharu PKNS FC ialah bintang dari Kemboja, Chan Vathanaka bagi mengisi slot pemain import Asia Tenggara (Asean).
Vathanaka musim lepas beraksi dengan pasukan Pahang selama 5 bulan sebelum kontraknya ditamatkan kerana kemerosotan prestasi.
Namun begitu, beliau kembali menunjukkan peningkatan apabila menjaringkan dua gol dalam kejohanan Piala Suzuki AFF bulan lepas ketika mewakili pasukan negaranya.
Malah, rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Kemboja, Thiery Chantha Bin yang beraksi dengan Terengganu FC baru-baru ini turut mendedahkan di media sosial dan memberi tanda-tanda kemunculan semula pemain tersebut dalam saingan Liga Malaysia.
Selain Vathanaka, pemain skuad kebangsaan Singapura, Gabriel Quak turut beradar dalam radar PKNS FC untuk slot pemain import Asean. Namun, PKNS FC ternyata lebih berminat dengan khidmat pemain kemboja tersebut.
Pada usia 24 tahun, Vathanaka telah mendapat hampir 40 penampilan bersama skuad kebangsaan Kemboja, sesuatu yang mungkin tidak akan didapati oleh pemain-pemain muda negara.
Vathanaka sebelum ini beraksi secara pinjaman bersama kelab Jepun, Fujieda MYFC. Di Fujieda MYFC, Vathanaka boleh dikatakan menghabiskan hampir 10 bulan hanya dengan memanaskan bangku simpanan. Dia hanya dapat turun beraksi dalam dua perlawanan sahaja.
Dengan kehadiran dua pemain tersebut, PKNS FC kini sudah melengkapkan empat kuota import termasuk Romel Morales Ramirez yang masih dikekalkan dan bekas pemain import MIFA, Kpah Sean Sherman dari Liberia.
Seorang lagi pemain import dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat dan mungkin mereka akan terus kekal dengan 4 pemain import untuk menjimatkan bajet pasukan.